UniMAP diharap tempa kejayaan di peringkat global

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diharap lebih banyak menempa kejayaan di peringkat global bagi menjamin kemenjadian pelajar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ilmu, keikhlasan dan kecemerlangan menjadi nilai teras utama yang perlu dijaga dan dipelihara dalam semua aspek termasuk integriti.

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra semalam.

Pada majlis itu Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli mengambil alih amanah sebagai Naib Canselor ke-4 UniMAP untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Ogos 2021 hingga 8 Ogos 2024.

Beliau menggantikan Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad yang menerajui jawatan tersebut sejak 15 Mei 2019 hingga 27 Mac 2021.

Berangkat sama pada majlis it Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Canselor UniMAP mendoakan kepimpinan baharu universiti itu meneruskan matlamatnya untuk menjadi antara universiti awam terbaik di dunia.

Baginda juga merakam penghargaan kepada Dr R. Badlishah serta bekas Naib Canselor Prof Emeritus Dato’ Dr Kamarudin Hussin dan Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal atas segala khidmat bakti yang dicurahkan.

Sementara itu, Dr Zaliman memohon limpah perkenan dan sokongan baginda untuk beliau menabur bakti demi pembangunan agenda pendidikan negara serta memastikan UniMAP terus melakar kejayaan. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -