Mahalnya sebuah kejujuran

- Advertisement -

DIIKTIRAF oleh semua pihak

Peristiwa perletakan Hajarul Aswad menjadi petanda awal sebelum Kenabian bahawa kejujuran akan menjadi indikator penting dalam sesuatu perkara. Begitulah pengiktirafan yang diberikan kepada Baginda S.A.W untuk menjadi penentu perbalahan politik zamannya. 

Diakui oleh seteru

Raja Heraklius (Heraqla) selepas membaca surat Nabi S.A.W bertindak mencari makluman tambahan mengenai sosok tersebut. Lantas dihebahkan ke seluruh pelosok tempat untuk mencari sesiapa yang boleh berbuat demikian. Abu Sufyan yang ketika itu berada di Syam menawarkan diri untuk membantu lalu berlakulah dialog panjang antara keduanya sebagaimana yang direkodkan dalam Sohih Bukhari. 

- Advertisement -

Kita semua maklum bahawa, Abu Sufyan sangat keras pertentangannya dengan Nabi sejak dari Makkah sehingga membawa kepada beberapa siri peperangan. Tetapi ketika ditanya oleh Raja Rom, nyata respon Abu Sufyan sangat menarik.

Ketika ditanya, ‘Adakah kamu menuduhnya pembohong…? Jawab Abu Sufyan, tidak! Memang aku tahu tidak mungkin dia berdusta terhadap manusia dan Allah.

Memang akan sentiasa ada golongan sebegini yang tahu jalan kebenaran tetapi tetap memilih untuk melawan.

Orang beriman tidak tergamak untuk berdusta

Kejadian 3 Sahabat Besar, iaitu Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah yang keciciran dalam Perang Tabuk wajar menjadi pedoman.

Selepas Baginda dan rombongan tiba di Madinah, Kaab melihat sejumlah umat Islam (baca Munafiq) yang turut tidak menyertai perang, bertemu Nabi dan keluar dengan ceria. Bermaksud alasan mereka diterima. Maka Kaab membulatkan tekadnya dan sudah bersedia dengan alasan untuk dimuntahkan.

Tetapi segalanya berubah apabila bertemu mata dengan Nabi. Lidahnya menjadi kelu dan menyebutkan perkara sebenar hingga dihukum dalam tempoh waktu menghampiri dua bulan (50 hari).

Selamat dunia akhirat

Selepas berlalu tempoh hukuman, lalu turunlah khabar gembira mereka telah diampunkan Allah. Ketika itu Kaab melafazkan syukur kerana telah berkata jujur dan berjanji untuk mempraktikkannya dalam seluruh kehidupan. 

Sekalipun dihukum, tetapi tetap dihormati kerana orang ramai tahu kita bersikap jujur. Berbeza dengan kaki tipu, sekali mula menipu, maka akan berlanjut satu demi satu penipuan berantai. 

Perkara ini boleh ditadabbur melalui kisah saudara Yusuf yang merancang komplot terhadapnya. Penipuan mereka berlanjutan dari kecil hingga Yusuf sudah diangkat menjadi Menteri.

Kesimpulan

Berbohong akan ada kemanisannya, tetapi jika ia bocor, maka meranalah hidup seluruhnya. Ia bukan hanya sengsara di dunia, bahkan yang lebih ditakuti tidak selamat di akhirat kelak. 

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 27/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226076329914443/

- Advertisement -