Ordinan Darurat: Menteri jawab Isnin depan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai semua perkara berkaitan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat akan dijelaskan Isnin depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin memaklumkan, berdasarkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun semalam, semua persoalan dan isu dibangkitkan Ahli Parlimen berhubung perkara itu dijawab pada hari berkenaan.

“Yang Dipertua mengarahkan menteri memberi penjelasan pada Isnin. Saya minta dengan rendah diri, supaya untuk berlaku adil kepada kerajaan, saya diberi peluang untuk memberi penjelasan semua mengenai pelaksanaan darurat pada Isnin ini,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun, kenyataan Takiyuddin itu dibantah beberapa Ahli Parlimen pembangkang, yang mendesak supaya hal berkaitan darurat terutama pengumuman pembatalannya berkuat kuasa 21 Julai lalu oleh beliau semalam dijawab segera.

Ini terutamanya untuk penjelasan sama ada pembatalan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, selain kedudukan kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai.

Bagaimanapun beliau menegaskan tertakluk kepada petua yang diberikan Azhar.

“Dalam Dewan ini ada peraturan, Yang Dipertua, Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, semuanya tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat.

“Antara yang ada dalam peraturan ini adalah petua daripada Yang Dipertua. Saya tertakluk kepada petua Yang Dipertua semalam yang meminta saya memberi penjelasan pada Isnin.

“Bukan saya lari (daripada memberikan jawapan). Hari Isnin tidak akan lari,” katanya.

Semalam, Takiyuddin memaklumkan, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan Proklamasi Darurat yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan semua ordinan yang sudah dibuat sepanjang tempoh pelaksanaan Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lalu berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -