Isu tutup kilang: PBT perlu lebih bertanggungjawab

- Advertisement -

MEMBACA Kenyataan Media oleh YB Nge Sze Han, menggeleng kepala dibuatnya. Kalau sekumpulan rakyat Selangor membawa tindakan Mahkamah ke atas MITI, Kerajaan Negeri Selangor, MB Selangor, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan termasuk Task Force COVID-19 Selangor di atas kegagalan fiduciary duty – ia akan menjadi satu kes administrative law yang berkepentingan awam dan mega kes untuk abad ini. Jangan ingat selama-lamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh berlindung di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Adakah pihak YB (seperti menurut Penasihat Undang-undang Negeri), akan meletakkan pembelaan lemah ‘tiada peruntukan di bawah Seksyen 107 untuk PBT bertindak menutup kilang-kilang?’

- Advertisement -

Junior lawyer saya pun boleh jawab balik:

Seksyen 107 (2) berbunyi – Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan boleh dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.

Secara literal – Seksyen tersebut menggariskan satu kuasa besar PBT untuk memberikan permit atau lesen dan juga membatalkan permit dan lesen tanpa memberi apa-apa sebab pun.

Dan kuasa PBT ini telah ditambah lagi pada 3 Mac 2021 oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-undang di bawah Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 memperluaskan lagi kuasa pegawai-pegawai yang dilantik iaitu termasuk Badan Berkanun dan PBT Negeri untuk melaksanakan kuasa ke atas pelanggaran SOP.

Jadi ke semua Akta 171 dan 342 yang dipetik oleh YB Ng sendiri adalah perlu dibacakan bersama bagi menunjukkan PBT ada kuasa yang besar untuk membantu kerajaan menangani pandemik iaitu:

1. Kuasa untuk meluluskan lesen atau permit jika difikirkan patut.
2. Kuasa untuk membatalkan lesen atau permit pada bila-bila masa.
3. Kuasa ini tak perlu bagi sebab pun!

Dalam erti kata lain, besarnya kuasa PBT ketika Darurat pandemik ini macam tahap Thanos dah. Kalau dia rasa satu kilang ada potensi untuk sebarkan penyakit – dia boleh petik jari batalkan lesen dan kilang pun terpaksa tutup. Kalau tauke-tauke bising, dia tak perlu beri sebab apa pun kerana pembelaan kepada PBT sangat kukuh sekiranya menjalankan tugas fiduciary dengan baik demi kepentingan awam.

Namun sebaliknya, sekiranya tugas fiduciary ini gagal dilaksanakan dan awam boleh buktikan dengan gambar dan laporan rasmi berita, terketar juga Penasihat Undang-undang nak jawab tindakan mahkamah daripada orang awam nanti.

Saya lihat kepada beberapa kenyataan yang lebih bersifat ‘bukan salah aku, salah dia’ bersifat bercanggah antara satu sama lain.

“Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.” 

Tiada pula di dalam 171 dan 342 mengatakan bahawa kuasa PBT tidak termasuk dalam bab pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit. Tiada. Siapa yang senarai kecilkan pula tugas PBT ini? Habis apa guna kuasa diberikan di bawah Seksyen 101 Akta 171 yang membolehkan PBT memasuki premis  untuk tujuan pemeriksaan atau penyiasatan atau menjalankan kerja:

110. Kuasa untuk memasuki premis.

Seseorang pegawai sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan yang diberi kuasa secara bertulis dengan sewajarnya boleh pada setiap masa yang munasabah, memasuki mana-mana premis dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan bagi maksud menjalankan apa-apa kuasa pemeriksaan, penyiasatan atau menjalankan kerja, yang diberi kepada sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan.

Apakah niat akta ketika ini tidak boleh dipakai ketika musim Pandemik? Pihak PBT boleh memeriksa, menyiasat dan sudah tentu pelaksanaan undang-undang jatuh dalam kategori ‘menjalankan kerja’. Kalau bukan PBT yang diharapkan menurut niat Akta 171 untuk membuat enforcement, then siapa? NGO? Rakyat?

“Harus diingatkan pindaan di atas (Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat) bukan bermaksud PBT ada kuasa untuk tutup kilang tetapi bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Negeri menjalankan penguatkuasaan SOP sahaja. Kuasa ini di bawah Kerajaan Pusat”

Kenyataan Ini pun kontra dengan Akta 171 dan kenyataan beliau sendiri  yang berbunyi:

“Sehingga 12 Julai 2021 sejumlah 39,604 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup”

Ini merupakan pengakuan bahawa memang ada operasi dan ada penutupan kilang oleh PBT. Memang tugas mereka! Tidak perlu nafikan lagi bidang kuasa. Kenyataan sendiri sudah bercanggah antara satu sama lain.

Kenyataan media itu juga menyatakan Op Patuh adalah di bawah Jawatan Kuasa Koordinasi Pematuhan SOP PKP COVID-19 dan cuba memberikan kenyataan membela diri dan menuding jari bahawa PBT Negeri Selangor hanyalah ahli jawatankuasa sahaja kerana ketuanya daripada KDN.

Oleh itu adakah ini bermakna selagi tiada arahan daripada pihak tertentu seperti KDN, maka pihak PBT tidak dapat bergerak. Sekira ini benar maka tidak berkesudahan polemik pandemik ini.

NURHIDAYATY MAIDIN
Peguambela & Peguamcara
Ahli Jawatankuasa Muslimat Legal Team (MUSLET)
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/564736986/posts/10157902271261987/

- Advertisement -