Jangan gila politik di saat rakyat susah dan berharap

- Advertisement -

SETAKAT kelmarin 23 Jun 2021 pandemik COVID-19 telah meragut nyawa 4,637 orang di Malaysia. Kita masih dalam tempoh Darurat dan PKP seluruh negara dalam usaha memutuskan rantaian wabak ini. Kesan dari langkah kerajaan mengakibatkan ramai yang hilang pekerjaan, ramai yang tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan perniagaan rata-rata kehidupan awam teruk terjejas. Langkah drastik ini bukanlah pilihan tetapi ia sesuatu yang perlu demi menyelamtkan nyawa, kepentingan dan masa depan kita semua.

Sesungguhnya pandemik ini bukan ditanggung negara atau rantau kita sahaja tetapi ia turut menjejaskan dunia. Oleh itu masing-masing negara mengambil langkah yang perlu dan terbaik untuk menyelamatkan rakyat masing-masing.

- Advertisement -

Ternyata usaha terbaik yang terbukti setakat ini adalah melalui vaksinasi. Pencapaian imuniti kelompok adalah langkah terbaik untuk meringankan beban pandemik ini dan ia setakat ini telah memulihkan keadaan di beberapa negara maju dan Malaysia juga tidak mustahil boleh mencapainya.

Jika kita berjaya mempertingkatkan jumlah rakyat yang menerima vaksinasi hingga ke tahap 80 peratus penduduk, tidak mustahil kehidupan boleh kembali seperti sebelumnya. Setakat jam 11:59 malam 22 Jun 2021, 6,301,727 rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin iaitu 4,574,685 telah menerima dos pertama manakala 1,727,042 telah menerima dos yang kedua.

Ini bermakna 5.3 peratus rakyat telah menerima kedua-dua dos dan jika kadar vaksinasi sehari melebihi angka 250,000 sehari (sebagaimana telah tercapai Selasa lepas), menjelang pertengahan Julai sekurang-kurangnya 10 peratus rakyat Malaysia telah menerima vaksin masing-masing. Dan mengikut kerajaan dalam bulan Ogos disasarkan kadar vaksinasi ini mencecah 400,000 dos sehari dan ini kelak akan memungkinkan kita mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum hujung tahun.

Apakah yang rakyat Malaysia mahu? Rakyat Malaysia mahu kehidupan mereka kembali pulih seperti biasa, negara berjaya memutuskan rantaian COVID-19 dan kita mencapai imuniti kelompok sebagaimana disasarkan. Sementara itu kerajaan perlu keluar dengan pelbagai skim, subsidi dan tawaran untuk meringankan beban rakyat dalam kita sama-sama meredah kesusahan ini, memeranginya dan akhirnya berjaya menewaskannya.

Usaha ini perlukan kerjasama dan pengorbanan semua pihak. Yang pasti ini bukan masanya menuding jari dan menyalahkan sesiapa, kita bersama memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan usaha untuk mencapai sasaran yang dimaksudkan.

Yang pasti rakyat bukannya mahu mendengar orang-orang politik bertikam lidah, berperang sesama sendiri, cantas-mencantas, dan merebut kuasa. Ini bukan masanya berpolitiking. Yang pasti rakyat bukannya mendesak dan mahu Perdana Menteri atau kerajaan baru, tambahan Perdana Menteri boneka atau kerajaan yang didominasi golongan yang berkemampuan memecah-belahkan ummah.

Yang rakyat mahu adalah kejayaan memerangi pandemik ini, keluar dari bebanan ini yang cukup mencengkam kehidupan mereka, dan agar mereka dapat hidup kembali normal seperti dahulu.

Bersamalah kita berusaha ke arah itu, masing-masing berperanan memikul tugas dan tanggungjawab masing-masing. Buruklah perangai mereka yang bernafsu mahu mendahulukan agenda peribadi masing-masing atas ratapan dan kesusahan rakyat ini.

Jika Darurat perlu ditamatkan 1 Ogos ini tamatkanlah. Jika Parlimen perlu bersidang, bersidanglah, jika ia membantu memulihkan kehidupan rakyat dan negara. Tetapi janganlah pula digunakan Parlimen nanti sebagai gelanggang untuk menjadi jaguh, berkokok bagaikan ayam jantan tetapi ekor bergelumang najis.

Yang rakyat mahu adalah jalan keluar dari kemelut ini, bukannya menaik atau menjatuhkan sesiapa. Jangan persia atau permainkan harapan rakyat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -