Separuh rakyat Kelantan daftar vaksinasi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang kira-kira separuh rakyat Kelantan sudah mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, seramai 603,289 orang daripada 1.2 juta penduduk sudah mendaftar vaksinasi sehingga semalam.

Katanya, perkembangan yang berlaku itu menunjukkan bahawa hampir separuh daripada rakyat Kelantan telah mendaftar program vaksinasi.

- Advertisement -

“Pendaftaran vaksinasi di Kelantan meningkat sehingga 50 peratus hasil keberkesanan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dijalankan di beberapa lokasi.

“Selain itu pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera. Peningkatan juga disebabkan orang ramai mula menyedari kepentingan vaksin,” katanya selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) semalam.

Hadir sama Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd. Zurairie Mohd. Zubir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II Dato’ Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Penjara Kelantan Mat Yaacob.

Dr Zaini juga berkata, berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan, lebih 285,000 dos vaksin sudah diterima rakyat di Kelantan dengan 196,784 bagi dos pertama dan 88,376 dos kedua.

Kata beliau juga dengan perkembangan itu Kelantan kini tidak lagi berada di senarai bawah pendaftaran program vaksinasi.

“Malah ia akan terus meningkat terutama selepas menerima tambahan bekalan vaksin sebanyak 550,000 dos Julai ini.

“Jabatan Kesihatan akan menjalankan lebih banyak Program Outreach Vaksinasi Covid-19 selepas mendapat bekalan vaksin,” tambahnya.

Kata beliau juga sebanyak 18 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh Kelantan dan dijangka ditambah lima lagi PPV selepas bekalan vaksin diterima. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -