Vaksin CanSino sesuai penduduk di pedalaman

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan yang merupakan dos tunggal bagi memudahkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman mendapat manfaat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, vaksin itu boleh dimanfaatkan kepada penduduk Orang Asli.

“Vaksin CanSino akan digunakan terutama di kawasan pedalaman dan kawasan penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

- Advertisement -

“Untuk vaksin CanSino ia hanya membabitkan satu suntikan dos sahaja. Kita akan hantar kepada Kelantan di kawasan pedalaman terutama Orang Asli di Gua Musang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga perolehan vaksin CanSino dijangka bakal diterima bekalan berkenaan pada bulan depan.

Kata beliau vaksin CanSino bersesuaian kerana ia menjimatkan masa kerana tidak perlu masuk dua kali ke kawasan berkenaan bagi tujuan memberi suntikan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan dibuka secara ‘walk in’ selepas kesemua individu yang berdaftar selesai menerima vaksin.

Justeru itu katanya, kerajaan menjangkakan proses suntikan vaksin kepada populasi penduduk di negara ini dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini atau lebih awal. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -