Penghulu, NGO bantu penduduk daftar vaksinasi

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Pusat Khidmat Dun (PKD) Semerak mengadakan gerakan secara menyeluruh untuk mendaftar penduduk menyertai program vaksinasi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, usaha itu dilakukan melalui penghulu-penghulu mukim dan NGO dengan mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Pasir Puteh.

Katanya tumpuan diberi kepada penduduk yang tinggal di kawasan penempatan semula perkampungan nelayan di Tok Bali dan mereka yang tinggal di sekitar perkampungan Siam.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri menyasarkan lebih 70 peratus daripada jumlah 80,000 penduduk di DUN Semerak mendaftar sebagai penerima Vaksin Covid-19 menjelang September depan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga sehingga sekarang tidak ramai penduduk di DUN berkenaan yang terdiri daripada petani dan nelayan yang berdaftar mendapat suntikan vaksin menggunakan aplikasi MySejahtera.

Katanya mereka bukan tidak mahu menerima vaksin sebaliknya tidak tahu kaedah untuk mendaftarnya.

“Rata-rata mereka tiada kemahiran menggunakan kemudahan dalam talian MySejahtera seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

“Selasa lepas seramai 300 penduduk termasuk warga emas menyertai program mobile vaksinasi di Pejabat DUN Semerak di Cherang Ruku di mana sambutannya di luar jangkaan.

“Bagaimanapun kita terpaksa menolak kira-kira 200 penduduk kerana nama mereka tiada dalam senarai penerima vaksin pada hari tersebut,” katanya.

Wan Hassan juga berkata, seramai 2,000 asnaf yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di DUN berkenaan mendapat bantuan bakul makanan melibatkan peruntukan sebanyak RM120,000.

Kata beliau sebilangan besar penduduk di DUN itu berpendapatan kecil antara RM300 hingga RM500 sebulan, di mana mereka bergantung hasil tangkapan ikan, mengerjakan sawah dan bekerja sebagai buruh kasar. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -