Negara dalam Darurat, politikus jangan gila kuasa!

- Advertisement -

PARA politikus yang kini masih ghairah mencatur langkah untuk meraih kedudukan dan kuasa tertinggi negara sebenarnya adalah petualang rakyat dan negara. Mereka bukanlah selayaknya berada di kedudukan kepimpinan apabila tiada pertimbangan untuk menghentikan politiking saat ancaman COVID-19 dan tempoh Darurat ketika ini.

Sedangkan rakyat dan negara berkorban secara solidariti menghadapi keperitan dan kepayahan dari segala keterbatasan, sekatan dan kekurangan semata-mata mahu mencapai kepentingan bersama. Apakah para politikus ini tidak serik dan belajar dari kegelojohan rakus mereka selama 22 bulan memerintah dahulu tetapi penuh porak-peranda? 

- Advertisement -

Keadaan semasa amat berisiko yang menuntut segala tadbir urus berlangsung tenang, teliti dan lancar bagi menangani cabaran keselamatan kesihatan. Malangnya, pemimpin-pemimpin politik ini masih terliurkan jawatan. Tidakkah perbuatan kalian akan mengundang kebimbangan dan situasi lebih buruk yang memangsakan banyak pihak?

Apakah mungkin kebiadaban melampau terhadap pemimpin tertinggi negara termasuk ke atas Yang di-Pertuan Agong, serta hasutan-hasutan untuk merombak sistem dan tonggak negara mutakhir ini sebenarnya didalangi oleh kalian? Logiknya ada, hanya perlukan siasatan dari pihak berkuasa bagi membuktikan perencanaan kalian.

Bahaya sekali politikus yang tidak pernah puas dengan kuasa ini, mereka akan tetap mahu mendapatkannya biarpun merempuh segala had atau sempadan. Tidak pelik juga kalau bersekongkol dengan kuasa luar dan mengkhianati kedaulatan negara ini bersama musuh-musuh yang menanti untuk menceroboh. Prinsip, maruah dan integriti tiada dalam kamus politik mereka.

Hanya kesatuan teguh sekalian rakyat dan para pimpinan peneraju kerajaan yang setia kepada kepentingan negara dapat menyelamatkan semua dari angkara pihak-pihak ini. PAS Negeri Pahang teguh berdiri bersama kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagaimana istiqamah ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan negara mestilah menjadi perjuangan sepanjang masa oleh semua ahli politik dan parti politik negara ini. Kecuali mereka itu berkiblatkan kepada Liberalis, Komunis, Kapitalis, Atheis serta lain-lain idealogi yang bukan menjadi teras dasar sejarah, asal usul dan matlamat berdirinya negara Malaysia tercinta ini.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -