Patuhi SOP KKM, patuhi juga SOP Allah S.W.T

- Advertisement -

TELAH hampir dua tahun dunia dilanda pandemik COVID-19 yang telah meragut ribuan manusia di seluruh dunia, sama ada negara maju atau sebaliknya termasuk juga di Malaysia, penularan ini bukan sahaja meragut nyawa malahan meragut sebahagian dari kegembiraan kehidupan kerana ia melibatkan hampir keseluruhan sektor.

Ramai yang menangis kerana pemergian orang tersayang, tidak kurang juga yang menangis kerana kehilangan mata pencarian, puluhan ribu kehilangan pekerjaan dan peniaga kecil atau besar yang hilang sumber pencarian, saban hari terpaksa bergelut melawan jiwa yang semakin tertekan dengan kejutan norma yang menyesakkan ini.

- Advertisement -

Pengajian anak-anak kian membantut kesan dari cuti yang panjang dan tempoh pengajian yang tidak konsisten, malahan ramai yang terpaksa menangguhkan pengajian dan melupakan terus sama ada di dalam dan luar negara kesan dari ekonomi keluarga dan juga kesan dari SOP yang pastinya menyekat dan menyukarkan pergerakan. COVID-19 pula bukan sahaja tidak hilang malahan akhir-akhir ini kelihatan semakin mengganas.

Berapa lama kah lagi? Semuanya di dalam ilmu Allah, ketika ianya mula melanda, kita rasakan ianya akan segera habis dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kita menunggu, namun ia terus berlarutan sehingga kini, kerajaan mengambil beberapa langkah untuk menyekat penularan ini, SOP diperketatkan, malahan ramai yang di saman kerana melanggar SOP. SOP ini telah menukar norma kehidupan, berapa lama lagi kita akan kembali semula pada kebiasaan, hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.

Betapa sukarnya untuk menyekat pandemik ghaib ini, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa penegasan, badan-badan penguasa pula terpaksa memikul tugasan baru untuk mempastikan rakyat mematuhi SOP, tiap kali berlaku jangkitan, rakyat dipersalahkan kerana melanggar SOP, begitulah seterusnya entah bila kesudahan.

Manusia bagaikan lupa bahawa semua berlaku ini dengan Qudrat dan Iradat Allah S.W.T, sehinggakan SOP yang ditetapkan oleh manusia sahaja yang diberikan perhatian untuk dipatuhi, manakala SOP yang telah ditetapkan oleh Allah dirempuh begitu sahaja, rahmat, kasih sayang dan kasihan belas Allah S.W.T bagaikan langsung tidak didambakan.

Benar, penjarakan fizikal sesama manusia itu perlu bagi mengekang jangkitan COVID-19, tetapi jangan lupa penjarakan diri dari maksiat itu lebih penting bertujuan agar ianya mengundang rahmat, kasih sayang dan kasihan belas Allah S.W.T supaya Allah segera mengangkat penyakit ini dari muka bumi sekali gus dapat menjarakkan ruang kita dengan neraka Allah yang tidak terperi sakitnya.

Bagaimana doa kita akan diangkat kalau jiwa dan jasad dipenuhi maksiat dan kemurkaan Allah S.W.T, kerana itu bukan sahaja individu itu perlu bertaubat sebelum berdoa, kerajaan juga mesti menjadi sebuah kerajaan yang bertaubat, yang berusaha untuk menyekat penularan maksiat kepada rakyatnya, patuhi SOP yang ditetapkan oleh Allah S.W.T, jangan jangkiti rakyat dengan kemurkaan Allah S.W.T.

Hentikan program-program maksiat, hentikan hiburan yang melalaikan, gunakan kuasa yang ada untuk hentikannya, jangan tunjukkan seolah kita terlalu gembira dengan bala dan penyakit yang sedang melanda dengan berterusan melakukan maksiat dan perkara yang melalaikan, rakyat sudah terlalu letih melawan pandemik ini, malahan pihak kerajaan juga, sudah berbagai cara, kita masih gagal hentikannya, mari kita beristighfar tinggalkan dosa dan maksiat dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Mujahadahlah untuk melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat sehingga kita dimasukkan dalam kalangan mereka yang dikurniakan Inayah dari Allah S.W.T.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
ADUN Tanjung Lumpur – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -