Palestin: Allah sedang menguji kita semua

- Advertisement -

“KITA mungkin tak perasan, apa yang sedang berlaku di Gaza, Allah bukan menguji umat Islam Palestin saja tapi Allah juga sedang menguji kita. 

“Sebagai orang Islam, kita tak boleh anggap masalah di Palestin sebagai masalah depa saja, atau masalah politik saja tetapi ia juga adalah masalah kita semua, masalah orang Islam di seluruh dunia,” kata Menteri Besar Kedah Haji Muhammad Sanusi Md Nor di majlis penyerahan sumbangan untuk Tabung Bantuan Palestin PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar petang semalam.

Katanya lagi, ada banyak peringatan daripada al-Quran mengenai keperluan orang Islam untuk membantu saudaranya yang dalam kesempitan sebagaimana dihadapi umat Islam di Palestin.

- Advertisement -

“Apabila kita tidak ada lagi sifat berasa nak tolong atau perlu menolong saudara kita yang dalam kesempitan, itulah yang seperti disebut dalam Hadis bahawa orang Islam tidak lagi akan digeruni atau ditakuti oleh musuh walaupun bilangan kita sangat banyak.

“Musuh melihat kita hanya seperti makanan yang terhidang, kerana kita masing-masing pentingkan diri, cintakan dunia dan takut mati,” ujarnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Haji Muhammad Sanusi turut mengumumkan pemenang bidaan kenderaan SUV Volvo XC60 miliknya, Ustaz Yaakob Yusra Mohd Yusuf daripada Yayasan Murtadha Sungai Petani yang telah membida dengan harga tertinggi RM150,000. Kesemua perolehan daripada bidaan itu dimasukkan terus ke Tabung Bantuan Palestin #Aid4Palestine.

Haji Muhammad Sanusi sebelum itu memberi sumbangan tunai RM10,000 kepada Tabung Bantuan Palestin PAS Kedah sekali gus menjadikan sumbangan peribadi terkumpul beliau berjumlah RM160,000.

Nilai bidaan tertinggi RM150,000 untuk kenderaan SUV itu hampir tiga kali ganda berbanding harga pasaran untuk unit terpakai kenderaan jenis itu.

Caption

1.Menteri Besar Kedah bersama pemenang bidaan tertinggi kenderaan peribadi beliau, Ustaz Yaakob Yusra Mohd Yusuf yang dikhususkan sebagai sumbangan untuk Tabung Bantuan Palestin.

2. Haji Muhammad Sanusi menerangkan keperluan umat Islam saling bantu membantu dalam menghadapi musibah terutama seperti apa yang berlaku di Gaza sekarang.

3. Ustaz Yaakob Yusra menyerahkan mock cheque sebagai simbolik nilai bidaan kenderaan yang dimenanginya.

4. Haji Muhammad Sanusi menyerahkan sumbangan beliau hasil bidaan kenderaan SUV Volvo XC60 miliknya kepada Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Senator Ahmad Yahaya.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -