Volvo Menteri Besar Kedah dibida RM150,000

- Advertisement -

ALOR SETAR: Volvo C60 milik Menteri Besar, Muhammad SanusI Md Nor berjaya dibida dengan harga RM150,000 bagi mengisi tabung Aid4Palestin.

Kenderaan yang dimiliki beliau pada 2018 kini menjadi milik Ustaz Yaakob Yusra Mohd Yusuf setelah berjaya menawarkan harga paling tinggi sehingga bidaan itu ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil bidaan itu akan diserah kepada PAS Kedah sebagai sumbangan peribadinya untuk Palestin melalui parti itu yang berjumlah RM160,000.

- Advertisement -

Katanya, lebih 20 orang menyertai bidaan itu namun mereka yang menawarkan harga tertinggi hanya tiga orang.

“Ustaz Yaakob berjaya menawarkan harga paling tinggi iaitu RM150,000 di minit 9.55 pagi sebelum ditutup pada jam 10 pagi.

“Ada yang menawarkan harga lebih tinggi tetapi lebih jam 10 pagi, jadi saya terpaksa tolak,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Menurutnya beliau tidak menyangka ada yang sanggup menawarkan harga sedemikian kerana sangkaan awalnya hanya sekitar RM70,000 hingga RM80,000 sahaja.

Katanya kenderaan itu mengikut harga pasaran hanya sekitar RM60,000 sahaja.

Selain rakyat Kedah kata beliau terdapat juga dua lagi dari Selangor yang berminat menyertai bidaan itu yang diumumkan bermula 15 Mei lalu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka di atas keprihatinan menyahut bidaan saya khususkan untuk sumbangan kepada rakyat Palestin,” tambahnya.

Sanusi juga berkata, sekarang beliau lebih banyak menggunakan kereta rasmi kerajaan dan daripada kenderaan tersebut.

Beliau turut memuji usaha PAS Kedah bersama NGO kerana berjaya mengumpul lebih RM1 juta untuk membantu penderitaan rakyat Palestin.

“Derita rakyat Palestin berlarutan sejak 75 tahun lalu. Setiap kali bulan Ramadan tentera regim Zionis Israel akan melakukan pembantaian dengan membunuh dan merampas hak rakyat Palestin dengan kejam,” katanya.

Kerajaan Kedah juga turut menyumbang sebanyak RM200,000 untuk Aid4Palestine. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -