UMMAH lapor polis terhadap akaun Facebook persenda #Aid4Palestine

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membuat laporan polis terhadap akaun Facebook tular yang dipercayai mempersenda dana #Aid4Palestine yang diumumkan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung UMMAH, Khalil Idham Lim yang tampil membuat laporan polis berkata, status itu dianggap suatu fitnah yang berniat jahat dengan raputasi dan tuduhan jahat.

- Advertisement -

Beliau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini selepas solat Subuh atas tanggungjawab dan rasa simpati kepada rakyat Palestin namun dipersendakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Di kala kita sedang menyambut Hari Raya dan di kala umat Islam tampil dengan rasa simpati yang mendalam tanpa mengira apa saja fahaman politik malah melangkaui bangsa dan agama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mempersendakan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan NGO termasuk UMMAH untuk membantu saudara kita di Palestin,” kata Khalil Idham yang juga Pengerusi UMMAH Negeri Perak.

Sehubungan itu, katanya UMMAH memaklumkan satu arahan rasmi telah dikeluarkan kepada anggota UMMAH negeri dan jaringan NGO UMMAH supaya membuat laporan yang sama pada hari ini.

Katanya, UMMAH Pusat juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 12.30 petang tadi.

“Walaupun saya difahamkan posting berkaitan di akaun Facebook atas nama Wan Darulaman Mohd Zain itu telah dipadam , namun tidak membatalkan keputusan kita untuk membuat laporan polis,” tegasnya.

Khalil Idham menyebut dalam laporannya itu mengenai tindakan tersebut jelas menyalahi undang-undang yang sedia ada dan memohon individu terlibat disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah.

“Secara kasarnya, menyatakan bahawa jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

“Tindakan ini juga saya anggap boleh mencetuskan ketidak harmonian di kalangan penganut beragama Islam di Malaysia yang sedang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin dan bersedia untuk menyalurkan bantuan dengan pelbagai cara,” jelasnya.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 13 Mei lalu mengumumkan kutipan dana dengan penubuhkan sebuah Sekretariat #Aid4Palestine.

Sekretariat itu dipengerusikan oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO bagi mengadakan tindakan proaktif dan segera membantu perjuangan Palestin. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -