Doa, bantuan tetap tiba di bumi Palestin

amzad

KUALA TERENGGANU: Rakyat di negara ini diajak turut menjayakan kempen Aid4Palestine sebagai menyahut gesaan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, doa, bantuan, sumbangan dan sebagainya terus berlangsung sehingga ke hari ini biarpun bantuan ketenteraan tidak mampu untuk disumbangkan.

Advertisement

Katanya tarikh 15 Mei merupakan ulangtahun ke-73 memperingati peristiwa Nakbah Palestin, yang menjadi detik hitam buat umat Islam sejak 1948.

“Walau pun sudah berlalu selama 73 tahun, namun ia tidak pernah pudar dan padam di hati semua rakyat Islam seluruh dunia.

“Sewaktu kenyataan ini ditulis, lebih 100 orang telah syahid, termasuk kanak-kanak dan wanita akibat kezaliman zionis laknatullah. Dijangka angka korban akan terus bertambah dek kegilaan Zionis mengebom dan menyerang kawasan penempatan awam tanpa henti,” katanya di laman sosialnya hari ini.

Justeru itu beliau menyeru semua pihak untuk bersatu hati membina perpaduan serta demi meneruskan kelangsungan sejahteraan negara Malaysia khususnya.

Katanya juga umat Islam di negara ini hendaklah terus mengutuskan doa qunut nazilah buat mereka.

“Birruh, Biddam, Nafdika Ya Aqsa!. #SavePalestine. #Pray4Palestine. #tangisanitu,” ujarnya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 15/5/2021