Jangan abai SOP ketika sambut raya

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah diingatkan agar terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan walaupun dalam suasana sambutan Aidilfitri.

- Advertisement -

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hal tersebut jangan diambil mudah memandangkan kes positif Covid-19 di Kedah mencatat angka yang tinggi sekarang.

“Pakat berjaga-jaga adik, kakak sekalian. Jangan ambil mudah dengan Covid ini kerana ia telah membunuh jutaan nyawa di seluruh dunia,” katanya pada catatan di laman sosialnya hari ini.

Menurutnya Kedah kini mencatat 239 kes positif melibatkan beberapa daerah melalui kluster-kluster yang dikenal pasti.

Ujarnya lagi, daerah Kota Setar mencatat angka paling tinggi iaitu 99 kes diikuti Kubang Pasu 62 kes dan Kuala Muda 36 kes. Manakala Baling (14), Langkawi (lapan) Pendang (tujuh), Yan (lima), Kulim (tiga) , Sik (tiga) dan Padang Terap (dua).

“Jangan ambil mudah, Covid telah membunuh hampir 3,344,744 mangsa seluruh dunia. Terus pastikan SOP dipatuhi. Duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar, buat ujian saringan di klinik berhampiran jika bergejala atau tidak sihat,” kata beliau.

Dalam masa yang sama ujar beliau mereka yang belum mendaftar vaksinasi Covid-19, perlu segera berbuat demikian sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau pun di Pusat Kesihatan berhampiran.

Sebelum ini lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 Mei lalu sebelum perintah kawalan berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh seluruh negara pada 12 Mei.

Kedah sebelum ini antara negeri yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan kes positif semakin menurun.

Kedah sekarang mencatatkan beberapa kluster baharu antaranya Kluster Dah Mahsuri, Dah Amanjaya, Dah Empat Kota, Dah Kilometer Tujuh, Dah Utama dan Kluster Perusahaan Baru Dua yang berpunca dari kluster di Pulau Pinang.

Sementara itu, Sanusi dan keluarga meraikan hari raya di kediaman rasminya Seri Mentaloon dan menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau kediaman terbabit kelmarin. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -