Bantah MBPP hapus sembelih ayam pasar basah di pulau

Azizur Rahman ditemui Harakahdaily baru-baru ini.
- Advertisement -

GEORGETOWN: Tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menghapuskan penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau yang berkuat kuasa pada 1 Jun depan mengundang bantahan peniaga-peniaga ayam.

Tindakan ini sekali gus menghapuskan konsep ayam segar di pasar basah yang tiada bezanya jualan ayam sejuk beku di pasar raya.

Malah peniaga ayam bersungut dipaksa membeli peti pendingin (chiller fridge) yang berharga RM12,000 dengan syarikat pengedar ayam tunggal dari Singapura atas alasan untuk kebersihan.

Pengerusi Peniaga Ayam Pulau Pinang, Azizur Rahman yang mempunyai gerai menjual ayam di Pasar Jalan Patani berkata, para peniaga ayam mengalami kemerosotan jualan ayam disebabkan pembeli enggan membeli ayam yang disimpan di dalam peti pendingin.

- Advertisement -

“Bila pelanggan datang dan tengok ayam dalam peti sejuk beku mereka tidak mahu. Sebagai peniaga ayam, kita tak boleh nak buat apa, sekarang keadaan ekonomi tak berapa stabil, meniaga pula merosot,” katanya.

Azizur yang ditemui Harakahdaily memaklumkan selepas ini mereka tidak lagi dibenarkan menyembelih sendiri ayam di semua pasar basah di bahagian pulau selepas siap sepenuhnya pusat pengedaran ayam pada tahun ini.

“Soalnya di sini, akan timbul rasa was-was mengenai cara ayam itu disembelih kepada kami dari kalangan peniaga ayam Muslim walaupun mereka bagi kebebasan untuk penjaja ayam membeli dengan sesiapa sahaja. Timbul juga persoalan, berapa banyak pula mereka boleh bekalkan ayam mentah.

“Setahu saya kebanyakkan kilang yang mengeluarkan ayam mentah dimiliki orang bukan Islam,” ujarnya.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Iszurie Ibrahim menemui Azizur Rahman baru-baru ini.

Kebiasaannya kata Azizur, orang Islam yang berniaga secara kecil-kecilan akan sembelih dan jual sendiri.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut hak untuk semua kaum kerana peniaga ayam dari kalangan Cina dan India juga tidak bersetuju dengan perlaksanaan ini di seluruh Pulau Pinang.

“Orang Cina dengan cara Cina, India dengan caranya dan Islam pun sama, masing-masing mempunyai cara tersendiri,” ujarnya.

Selain dari meniaga ayam biasa beliau juga meniaga ayam selinap yang sukar ditemui di Pulau Pinang.

“Ayam selinap, kilang tidak mahu buat dan Cina pun tidak mahu buat kerana memerlukan banyak proses.

“Kita sediakan ayam ini khasnya orang Islam amat suka makan ayam selinap kerana tidak ada kolestrol, bagus untuk kesihatan kerana dibuang semua bahagian perut ayam mengikut syariat Islam,” katanya.

Azizur menyifatkan perlaksanaan ini menindas peniaga ayam sepertinya kerana hanya terhad kepada ayam sahaja.

“Mereka kata barang mentah mengakibatkan virus, kenapa mereka tidak melaksanakan sekali kepada barang basah ikan dan daging. Kenapa mesti tunggu selepas ini?” soalnya.

Ujarnya, selepas ini tiada beza lagi kualiti ayam di pasar basah dengan di pasar raya.

“Sekarang musim perayaan, pasar raya jual RM5.90 tetapi kami jual RM7.99 kerana kami jual ayam ‘fresh’, walaupun kami jual ayam ‘fresh’ perniagaan kami mengalami kemerosotan,” keluh Azizur.

Bagi memenuhi syarat MBPP, Azizur yang mewarisi perniagaan turun temurun telah membeli sendiri peti pendingin kerana enggan terikat kontrak selama tiga tahun dengan syarikat pengedar ayam tunggal dari Singapura itu.

Beliau menjelaskan pihaknya hanya berniaga di pasar basah terbuka bahkan jika peti pendingin itu rosak, ayam mentah yang disimpan di dalamnya juga akan rosak.

Beliau difahamkan perlaksanaan ini bukan hanya membabitkan di bahagian pulau sahaja malah ia akan diperluaskan sehingga ke seluruh Pulau Pinang.

Beliau tidak menafikan ada peniaga yang ditarik lesen meniaga susulan tidak berpuas hati dengan perlaksanaan ini.

“Kami harap perlaksanaan ini dibatalkan terus,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2021

- Advertisement -