SECARA sedar atau tidak, kita sedang berdepan dengan pelbagai serangan kepada agama dan institusinya. Serangan ini tidak terlepas kepada mana-mana kumpulan atau individu yang dikaitkan dengan agama. Kita sering mendengar nasihat al-Quran;
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”
[al-Baqarah: 120]
Bermula dari zaman Rasulullah serangan itu berlaku. Mereka menyerang al-Quran sebagai kalam ciptaan namun mereka tewas apabila al-Quran mencabar mereka membuktikan. Mereka menyerang Rasulullah sebagai manusia biasa, sering terlupa dan tersalah. Akhirnya mereka akur setelah sekian lama gagal membuktikan. Mereka mencuba melalui pelbagai cara menghina peribadi Rasul dan meragukan Hadis Baginda namun gagal melalui wahyu dan disiplin ilmu disusun ulamak.
Akhirnya mereka menyerang ulamak. Pelbagai hinaan ditimpakan kepada ulamak. Fitnah melingkari hidup mereka. Matlamat musuh hanya satu. Jauhkan ulamak dari ummat. Hindari mereka dari berterusan dijadikan rujukan dan dihormati.
Di negara kita di awal sejarah kemerdekaan ulamak dilabel ganas dan menentang pemerintah. Setelah merdeka Ulamak diwajahkan tidak semasa dan ketinggalan zaman. Apabila PAS menang di Kelantan dan menabalkan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) sebagai Menteri Besar, fitnah itu lenyap sedikit demi sedikit dengan bukti kejayaan Kelantan di bawah pimpinan almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang dikenali ulamak pondok di sudut penampilannya.
Di zaman kita, ulamak yang berpolitik dilabel berkepentingan. Tokoh ulamak yang popular di suatu ketika dalam forum perdana dilabel ‘demand’. Yang tidak popular dilabel ustaz sampul malah pelbagai label dan fitnah cuba disangkut kepada ulamak. Semuanya bertujuan menjauhkan masyarakat dari merujuk ulamak.
Zaman kita yang penuh fitnah maya ini lagi mudah menjatuhkan institusi dan individu agama. Isu kecil mereka yang dikaitkan dengan institusi agama dibesar-besarkan walaupun belum Sahih dan benar. Apabila muncul sahaja isu ‘panas’ walaupun bersifat peribadi, langsung mereka dihina dan dihukum walaupun bersumber cerita sebelah pihak. Ramai netizen yang mendahului hakim.
Tidak cukup dengan itu, isu kononnya kegagalan institusi zakat diserang pula. Sumber yang dikutip dari ‘individu’ yang tidak dikenali dengan dakwaan melampau diuar-uarkan. Institusi zakat diikat dan dinafikan untuk menjawab. Sepatutnya media boleh temukan mereka dengan institusi terbabit sebelum dan bukan selepas menguar-uarkan. Ia tidak adil kerana dakwaan tanpa pembelaan.
Posting-posting yang tak diketahui sumber dan puncanya dikongsi secara meluas. Malah orang yang sangat diragui peribadi dan akhlaknya dijadikan rujukan. Postingnya dikongsi seakan benar dan tepat.
Ketahuilah, kita berada di zaman fitnah maya. Kembalilah pada nasihat al-Quran. Jangan biarkan musuh memisahkan kita dari ulamak dan institusi agama yang menjadi benteng ummah dan legasi perjuangan Rasulullah. Andai tiada lagi ulamak dijadikan rujukan, apakah kita rela berpedoman dari si jahil yang dimuliakan. Kita akan sesat dan menyebarkan kesesatan. Itu pesananan Rasulullah untuk kita umatnya.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 5/5/2021