Pedoman Al-Quran: Tanggungan beban dosa

ALLAH SWT telah menjelaskan bahawa dosa orang lain tidak ditanggung oleh pihak lain melainkan diri pembuat dosa itu sendiri yang memikulnya. Sekalipun sanak saudara terdekat yang berbuat dosa lalu memohon pertolongan untuk diselamatkannya, ia tidak dapat menolongnya. Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW agar memberi peringatan ini kepada kaumnya supaya mereka sentiasa mengawasi diri. Firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا یُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَیۡءࣱ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۤۗ إِنَّمَا تُنذِرُ ٱلَّذِینَ یَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَیۡبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَۚ وَمَن تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا یَتَزَكَّىٰ لِنَفۡسِهِۦۚ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِیرُ

Maksudnya: “Dan (ketahuilah), seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan jika seseorang yang berat tanggungan (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu daripada kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah pemberi peringatan kepada orang-orang yang takut akan Tuhan mereka dengan kepercayaan kepada perkara ghaib serta mereka mendirikan solat. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allah jualah tempat kembali. (Fathir: 18)

Advertisement

Berdasarkan tafsiran ayat tersebut, Imam Ibnu Kathir ada menyatakan bahawa setiap orang akan dibalas sesuai dengan amalan yang dilakukannya. Jika amalan tersebut baik, maka kebaikan yang akan dibalas. Sebaliknya jika yang dilakukan itu perbuatan terkutuk, maka hukuman terkutuk juga yang akan dibalas. Sememangnya manusia itu tidak akan memikul keburukan yang diperbuat oleh orang lain akan tetapi dirinya sendiri yang menanggung.

Rasulullah SAW ketika menerangkan hal ini kepada para sahabatnya, turut membacakan ayat tersebut sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abu Rimthah R.A bahawa beliau menyebut:

انْطَلَقْتُ مَعَ أَبِي نَحْوَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ لِأَبِي: ابْنُكَ هَذَا؟ قَالَ: إِي وَرَبِّ الْكَعْبَةِ، قَالَ: حَقًّا؟ قَالَ: أَشْهَدُ بِهِ، قَالَ: فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَاحِكًا مِنْ ثَبْتِ شَبَهِي فِي أَبِي، وَمِنْ حَلِفِ أَبِي عَلَيَّ، ثُمَّ قَالَ: أَمَا إِنَّهُ لَا يَجْنِي عَلَيْكَ، وَلَا تَجْنِي عَلَيْهِ ، وَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: “Aku berangkat bersama bapaku menghadap Nabi SAW. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada bapaku: adakah ini anakmu? Jawabnya: Ya, demi Tuhan Ka’bah. Baginda tanya lagi: Benarkah? Lalu dia menjawab: Aku bersaksi atasnya. Maka Rasulullah SAW tersenyum kerana kemiripanku dengan bapaku dan juga kerana sumpahnya dengan nama Allah atas diriku. Kemudian baginda SAW bersabda: Adapun dia, sungguh dosanya tidak engkau tanggung hukumannya dan dosamu tidak membuatnya menanggung hukumannya. Lalu baginda membaca ayat (yang terjemahannya): Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Namun, walaupun dosa orang lain tidak menjadi beban kepada seseorang lain, akan tetapi sekiranya dosa yang dilakukan tersebut adalah hasil daripada perbuatan jahat serta warisan yang ditinggalkan oleh seseorang itu, maka dia turut memikul dosa berkenaan. Hal ini dijelaskan secara nyata dalam sebuah hadis:

مَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Siapa yang mengajak kepada kesesatan, dia akan memperolehi dosa, seperti dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurangan sedikitpun daripada dosa yang dilakukan orang tersebut.” (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad)

Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa mempastikan diri mereka agar sentiasa berada di landasan yang betul dan menepati syariat. Jika terdapat kesalahan atau ada melakukan perbuatan jahat, hendaklah dibersihkan perbuatan itu dan pohon keampunan daripada Allah serta minta maaf dengan orang yang diperlakukan kejahatan. Dengan cara sebegini, segala dosa yang dilakukan akan terampun dan bebanan dosa orang lain tidak akan terpundak ke atas bahu kita.

Ramadhan adalah bulan Maghfirah yang membuka peluang untuk seluruh umat Islam membersihkan diri daripada segala noda dan dosa yang telah dilakukan. Semoga kita semua dijauhkan daripada menjadi bahan bakaran api neraka bahkan Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bertakwa serta dapat memasuki pintu Rayyan nanti, bīznilah.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
22 Ramadhan 1442/04 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 4/5/2021