Pelihara negara dengan perpaduan ummah

- Advertisement -

TAMBUN: Umat Islam hendaklah sentiasa bersedia dan bersatu di medan jihad dengan matlamat yang satu iaitu memperjuangkan agama Allah di atas muka bumi, kata mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Sidek Mohd Nor.

Menurutnya, dalam menghadapi realiti dunia masa kini, persiapan dan strategi memperjuangkan Islam merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana pastinya ia akan berubah-ubah mengikut cabaran semasa.

- Advertisement -

“Kita kena tahu, ada yang kita bincang, boleh dilaksanakan. (Namun) ada yang kita dah bincang, tapi berlaku di hadapan kita benda yang lain. Ada yang perlu mesyuarat, ada yang tak perlu mesyuarat. Maka di sinilah Islam menuntut kita wala’ dan siqah kepada pimpinan,” ujarnya.

Menyingkap peristiwa perang Badar, Ustaz Sidek Nor menjelaskan umat Islam yang dipimpin Rasulullah SAW ketika itu berada di dalam keadaan lemah kerana kekurangan jentera dan kelengkapan perang, namun tetap menolak tawaran pertolongan golongan kafir.

“(Tapi) dalam pembukaan kota Mekah orang kafir nak mai bantu, Nabi terima. Kerana masa itu tengah kuat. Apa hikmahnya? Kalau kita terima bantuan orang kafir ketika lemah, waktu menang depa akan mintak kita ikut cakap depa,” jelasnya lagi.

Oleh hal demikian, katanya dalam arena politik tanah air kini, maka perpaduan ummah yang diusahakan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang amat wajar disambut baik.

Ini, ujarnya kerana melalui perpaduan ummah, ia dilihat dapat menyelamatkan negara dari anasir buruk.

“Kita dapat lihat 22 bulan mereka (PH) memerintah. Buku komunis disebar, LGBT bermaharajalela, hina Nabi hari-hari. Saya tak dapat bayangkan jika mereka kembali berkuasa dalam pilihan raya akan datang. Jalan penyelesaiannya, Melayu Islam perlu bersatu. 

“Kita perlu buat kerja dan bermunajat. Insya-Allah pertolongan Allah akan sampai seperti mana pada umat terdahulu ketika mana mereka amat memerlukan pertolongan Allah.

“Kalau kita tak cari musuh, musuh akan cari kita. Jangan kamu bercita-cita mencari musuh. Tapi kalau berdepan dengan musuh, (maka) tetapkan tapak kaki kamu,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -