Pahang cadang peraturan lebih ketat bendung Covid-19

- Advertisement -

KUANTAN: Menteri Besar mahu jumlah pengunjung di bazar Ramadan dan Aidilfitri dikecilkan daripada kapasiti sebelum ini bagi memastikan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan efektif.

Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan kes jangkitan Covid-19 sekarang semakin meningkat.

Katanya, kerajaan negeri mungkin terpaksa melaksanakan peraturan yang lebih ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

“Saya dimaklumkan terdapat peningkatan kes sejak dua minggu lalu di zon merah seperti Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub.

“Pada 3 Mei lepas jumlah kes jangkitan sebanyak 354, namun pada 4 Mei di Daerah Kuantan sahaja jumlah kes terkumpul sebanyak 1,470 kes dengan 143 kes aktif melibatkan 9 kluster berbeza,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga jumlah saringan yang belum dimuktamadkan sebanyak 647 kes dengan 1,942 individu diarahkan dikuarantin di rumah.

Kata beliau juga Majlis Keselamatan Negara mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru bagi mengekang penularan wabak.

Malah kata Menteri Besar Mukim Gali dan Tras, Raub mungkin dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kedua-dua kawasan itu menunjukkan peningkatan kes yang amat ketara.

“Saya memahami ketika kita di ambang sambutan Aidilfitri, sudah tentu kita tidak mahu mana-mana perintah sekatan diadakan.

“Namun begitu kita tidak boleh memandang remeh jumlah jangkitan wabak yang secara jelas sedang meningkat dengan drastik.

“Saya menyeru agar anak-anak Pahang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berharap setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk melindungi diri sendiri dan komuniti supaya kadar jangkitan wabak dapat diturunkan.

Kata beliau juga penularan wabak di Daerah Kuantan diharap dapat diturunkan secepat mungkin dengan mengurangkan aktiviti dan acara yang melibatkan orang awam.

“Elakkan sebarang perjalanan keluar masuk dari kawasan Kuantan, patuhi SOP yang ditetapkan dan sentiasa menjaga jarak antara satu sama lain,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -