‘DengkiKe?’ – Biar mati anak, jangan mati adat

- Advertisement -

SUKA atau tidak, etos ‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat’ masih lagi membumi di Malaysia. Walaupun tentunya kita biasa mendengar kritikan sama seperti yang dilemparkan kepada lain-lain pepatah Melayu, konon ianya sudah tidak sesuai, kolot malah tidak boleh diguna-pakai dalam kehidupan seharian serba moden dan berteknologi.

Penulis berpandangan sebaliknya, nenek-moyang kita pelaut dan pedagang luar biasa, pembangun kerajaan dan kesultanan terkaya dunia sememangnya cerdik dan bijak hendaknya. Pesan-pesanan daripada mereka sebelum menjadi buah mulut atau pepatah tentunya bersifat ‘time tested’, teruji ‘Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas’. Acapkali terbukti berkesan dan tidak cela makanya menjadi kata keramat sebagai peringatan kepada anak bangsa menjadi bekal nasihat hidup di masa depan. 

- Advertisement -

Begitu berwawasan nenek moyang kita yang tentunya juga sangat kosmopolitan kerana mampu menakluk jalur perdagangan dari Timur sehingga ke Barat, malah berbuka koloni di sepanjang jalur tersebut. Tentunya ianya bukannya lahir daripada pemikiran setengah masak atau sikap acuh tak acuh tanpa kepakaran komunikasi, pergaulan, perdagangan, perundangan Antarabangsa dan ilmu pelayaran! Dan ratusan peribahasa Melayu lahir daripada ‘makmal sains sosial’ budaya tinggi tersebut.

Penulis juga berpandangan bahawa ‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat’ adalah sebuah ikrar kepada hidup bermasyarakat yang sangat berakar umbi di Alam Melayu. Kita bukanlah masyarakat individualistik yang hanya pentingkan diri sendiri melebihi kemaslahatan bermasyarakat. Kita suka hidup bergotong-royong, tolong-menolong, berkongsi rezeki, ‘Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’. Pendek kata bermuafakat sesama tetangga dan ianya sangat terserlah setahun dua ini dengan penularan wabak COVID-19 yang mendunia.

Masyarakat kita sedar perbuatan seseorang individu dalam sebuah masyarakat atau sesebuah negara contohnya bakal memberi kesan baik atau buruk kepada semua. Dan bukannya si fulan itu semata-mata. Bangsa kita sedar akan hakikat itu. Tidak ada konsep ‘keakuan’ membuta-tuli. Jadi keharmonian hubungan bermasyarakat itu harus sentiasa dipelihara.

Menurut ‘Sapiens, A Brief History Of Humankind’, kebolehan bekerjasama antara satu sama lain adalah sifat yang membezakan antara manusia dan Mamalia lain. Kebolehan inilah dikatakan sebagai penyumbang besar kepada puncak kejayaan manusia hari ini. Melebihi yang lain di ‘animal kingdom’. Malah tegas pengarangnya, Yuval Noah Harari, sikap tersebutlah yang membezakan antara manusia dan monyet!

Tidak seperti monyet, manusia dikatakan mempunyai kebolehan untuk bekerjasama walaupun dengan orang yang tidak dikenali asalkan dalam sebuah organisasi atau kumpulan yang mempunyai tujuan yang serupa. Walaupun pengarang tersebut cuba menidakkan kewujudan Tuhan dalam semua ini, kita sebagai Muslim sedar bahawa manusia sebagai khalifah di bumi dikurniakan Allah S.W.T akal.

Sikap kebersatuan, ‘bulat air’ inilah yang selama ini membolehkan masyarakat kita membina negara dan kerajaan yang aman makmur sehingga dicemburui dunia. Hakikatnya, dengan memelihara adat resam, adat yang mengutamakan nyawa, kemaslahatan ummah, jiran tetangga dan budaya tolong-menolong, anak sesiapapun dalam masyarakat yang sarat adat resam itu, tidak akan mati.

Kesepakatan ini jugalah yang menjadi simbiosis ‘Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada’ sehinggakan lebih 10,000 jiwa sanggup pulang ke Kedah demi mengiringi Sultan yang dikasihi. Mereka sanggup berbakti meninggalkan kehidupan yang dibina lebih 20 tahun lama, sehinggakan menjual tanah dan harta dengan harga yang murah dan sebagainya. Kumpulan ini juga terdiri daripada sosok-sosok dan waris kepada puluhan ribuan rakyat yang bersama-sama Sultan beralah ke Perai rentetan daripada serangan Siam pada tahun 1821. 

Kesultanan Melayu Kedah merupakan antara Monarki tertua dunia daripada jalur keluarga yang sama, tidak terputus, berusia hampir seribu tahun lama. Kesultanan Melayu Kedah juga berjaya mentadbir bukan sahaja lautan luas, namun daratan, kawasan pendalaman sungai dan hulu sungai. Maziar Mozafari Falarti dalam ‘Kedah, The Foundations And Durability Of Malay Kingship’ menegaskan bahawa sokongan orang Melayu kepada Sultan tidak bersikap membuta-tuli.

Hubungan istana dengan marhaen terikat kemas mungkin seperti digambarkan dengan ikrar dan kesepakatan Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Dan ianya tidak seharusnya dimatikan dengan episod pembulian siber #DengkiKe.

Apatah lagi di Malaysia, Sultan dan Raja-raja Melayu adalah ketua Agama Islam bagi negeri-negeri. Malah Yang Di-Pertuan Agong bersumpah ‘Wallahi. Wabillahi. Watallahi’ akan memelihara Agama Islam pada setiap masa dan menjalankan pemerintahan adil berpandukan undang-undang dan Perlembagaan sedia ada. Yakni Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan.

Hakikatnya tidak ada sebab untuk sesiapapun beromantika dengan legenda Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Malah mana-mana pihak berjiwa republikan juga dinasihatkan tidak terlalu terkinja-kinja gembira. Simpan sikap subversif anda dan sila hentikan politik kebencian dan hasutan terhadap Sultan, Raja-raja Melayu dan Institusi Beraja.

Jika tidak, tentunya Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai undang-undang sedia ada akan menangani penderhaka seperti anda. Pastinya jika anda tidak tahu menghormati cara hidup bermasyarakat dan hanya pentingkan pola pemikiran dan perjuangan individualistik songsang tidak berperlembagaan dan melanggar undang-undang semata-mata, maka bersedialah untuk mendapat keadilan. 

Maka tepat sekali apabila neraca ‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat’ digunakan dalam situasi seperti ini. Individu ekstremis bermasalah seperti anda harus ‘dimatikan’, mungkin dipenjarakan jika terbukti bersalah melanggar undang-undang atau ditarbiah, demi memelihara adat yang sudah terbukti, zaman-berzaman mampu menjaga keharmonian dan kemakmuran massa.

Oleh itu sedarlah bahawa anda bukannya mangsa atau dimangsakan. Anda adalah sebahagian daripada masalah yang harus ditangani dengan jelas dan tuntas. Dan Negara perlu diselamatkan, tidak dapat tidak!

HARIZAL HASSAN 
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) – HARAKAHDAILY 26/4/2021

Sumber bacaan lanjut:

[1] https://www.asianstudies.org/publications/eaa/archives/when-the-world-came-to-southeast-asia-malacca-and-the-global-economy/ 
[2] A History Of South-East Asia 3rd Edition
[3] The Mythic Chinese Unicorn 2nd Edition
[4] Sino Malay Trade And Diplomacy From The Tenth Through The Fourteenth Century
[5] Leaves Of The Same Tree Trade And Ethnicity In The Straits Of Melaka
[6] Sapiens, A Brief History Of Humankind
[7] Kedah The Foundation And Durability Of Malay Kingship
(8) http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/profil/pemilihan-yang-di-pertuan-agong#section=p11
(9) http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/jadkeempat-Ma.Html
[10] https://www.nst.com.my/opinion/leaders/2019/01/448035/malaysias-monarchy-one-worlds-oldest 
[11] https://www.nst.com.my/news/2015/09/kedah-unbroken-malay-kingship

- Advertisement -