PAS Putatan komited bantu mangsa kebakaran

- Advertisement -

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan komited untuk membantu mengurangkan beban 15 keluarga di Kampung Dumpil yang kehilangan rumah dalam kebakaran 21 April lalu.

Kebakaran kira-kira jam 11 malam pada 21 April itu telah memusnahkan 15 buah rumah di kampung berkenaan melibatkan seramai 68 orang kehilangan tempat tinggal.

Sejak tragedi kebakaran tempoh hari, PAS Kawasan Putatan beberapa kali mengedarkan bantuan.

- Advertisement -

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, PAS akan terus komited untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk sumbangan berbentuk juadah berbuka puasa, set kelengkapan solat, keperluan harian seperti selimut, bantal serta wang tunai bagi mangsa membeli keperluan seharian yang hangus terbakar.

Beliau berkata demikian selepas selesai menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di sini, pada Sabtu.

“Kami menganggap ini pakej sumbangan yang lengkap, mudah-mudahan memberi kemudahan kepada kesemua mangsa kebakaran yang terjejas. PAS akan terus menjalankan siri bantuan kepada asnaf sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyeru orang ramai agar mengambil iktibar dan lebih berhati-hati untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

Selain itu, beliau turut mengajak orang ramai bersama-sama memperbanyakkan amalan sedekah dalam bulan Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 26/4/2021

- Advertisement -