Agihan zakat: Wakil rakyat DAP tidak belajar dari kesilapan lalu?

TINDAKAN Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, memadamkan hantaran berhubung bantuan Ramadan daripada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) daripada akaun Facebook miliknya hari ini setelah ditegur oleh beberapa pengomen posting Facebook saya yang tidak selesa dengan perbuatan beliau mengagihkan bantuan zakat kepada umat Islam malam kelmarin mengingatkan saya kepada kontroversi serupa pada bulan Ramadan dua tahun lalu.

Walaupun wakil-wakil rakyat bukan-Islam DAP waktu itu diselamatkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang menyebut harus bagi orang bukan-Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf, yang menyebut ia tidak perlu dijadikan isu asal tidak diselewengkan dan yang menyeru umat Islam supaya tidak membesarkan perkara remeh temeh seperti ini, mereka tetap juga berdepan dengan kritikan keras umat Islam.

Advertisement

Kritikan ini juga memaksa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUZ, Amran Hazali, menjauhkan diri darinya dengan menyebut ‘kalau perhatikan gambar-gambar, tak ada satu pun gambar yang ada pegawai-pegawai dari PUZ, itu sekali gus menunjukkan kita tak terlibat dan tiada kaitan dengan proses penyerahan itu’ dan menyebut ‘PUZ tidak pernah melantik atau mewakilkan secara rasmi kepada mana-mana wakil rakyat bukan-Islam untuk menyerahkan zakat’.

Untuk ingatan wakil-wakil rakyat bukan-Islam DAP, dikemukakan kembali kritikan yang pernah dikemukakan oleh para pemimpin PAS, Umno, BERJASA, GPMS dan Mufti Kelantan ke atas tindakan mereka mengagihkan bantuan zakat kepada umat Islam ini.

Kritikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi

‘Apabila pemberian wang zakat atau apa sahaja berkaitan zakat cuba diambil keuntungan politik terutamanya oleh pemimpin bukan-Islam, ia adalah sesuatu yang serius dan perlu diambil perhatian. Ini adalah kerana di dalam isu zakat, proses wajib yang lazimnya adalah ia diambil dari orang Islam, untuk orang Islam dan diuruskan oleh orang Islam.’

‘Isu zakat cukup sensitif di kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya.’

‘Agihan zakat oleh pemimpin bukan-Islam seharusnya tidak berlaku dan wajib ditegur malah dipantau agar tidak menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan tidak berlaku lagi. Malah ia juga boleh mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat Islam di dalam negara.’

‘Adalah lebih baik jika wakil rakyat yang bukan-Islam menyerahkan perkara berkaitan zakat kepada pegawai-pegawai mereka yang beragama Islam. Ia akan jadi lebih mudah dan tidak menimbulkan syak wasangka serta fitnah. Perkara sebegini harus dipantau oleh pihak berwajib agar ia tidak berulang lagi.’

‘Islam wajar dipelihara kesuciannya agar tidak diperkotak-katikkan dan diambil kesempatan ke atasnya. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesuciannya, siapa lagi yang kita mahu harapkan?’

(Rujukan: https://www.facebook.com/mkhalilabdulhadi/posts/2200277586694408 )

Kritikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

‘Zakat itu salah satu daripada Rukun Islam… berdasarkan kepada kepercayaan kepada Allah. Ianya merupakan ibadat khusus yang disyariatkan… diambil daripada orang Islam dan diserah atau diagih kepada orang Islam @ asnaf yang berhak. Bila orang bukan Islam yang mengurus @ yang mengagih… lakonan apakah yang sedang dimainkan itu?’

(Rujukan: https://www.facebook.com/zahidhamidi.fanpage/photos/a.188352211303364/1417593488379224/ )

Kritikan Naib Presiden BERJASA, Mohd Hazizi Ab Rahman

‘Institusi Islam tertentu yang seolah-olah menyokong tindakan pemimpin DAP mengedarkan bantuan zakat kepada penduduk Islam baru-baru ini diingatkan supaya tidak menjual agama untuk harga yang murah. Tindakan ini bermakna institusi berkenaan secara tersirat menghalalkan promosi fahaman mungkar Sekularisme, Liberalisme, Sosialisme dan Pluralisme yang diperjuangkan DAP sejak puluhan tahun dahulu. Ini juga bermakna institusi Islam itu menyucikan imej ahli-ahli politik DAP yang menentang konsep Negara Islam dan memperjuangkan konsep negara Sekular.’

‘Perjuangan Sekularisme, Liberalisme, Sosialisme dan Pluralisme adalah perjuangan mungkar, wajib dicegah. Sesiapa yang mempromosikan perjuangan itu turut sama melakukan kemungkaran. DAP sememangnya sedia maklum memperjuangkan segala fahaman itu untuk direalisasikan dalam negara kita sejak puluhan tahun dahulu. Mempromosikan DAP seperti mempromosikan kemungkaran fahaman perjuangan mereka.’

‘Amat jelas sekali dan tanpa ragu bahawa ahli politik DAP turut agih zakat demi mempromosikan parti mereka kepada orang Islam yang majoritinya masih belum menerima perjuangan batil mereka.’

(Rujukan: https://www.1media.my/2019/05/isu-agihan-zakat-usah-jual-agama-untuk.html )

Kritikan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad

‘Sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat di Negeri Pulau Pinang, tindakan Zakat Pulau Pinang memberikan agihan sumbangan zakat kepada ADUN dan Ahli Parlimen di kalangan bukan-Islam adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh umat Islam negeri Pulau Pinang terhadap Zakat Pulau Pinang.’

‘Tindakan membenarkan ahli politik bukan-Islam mencampuri urusan pengagihan sumbangan zakat ini adalah suatu tindakan yang menghina Islam dan umat Islam. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa pemberian zakat adalah sama sahaja seperti sumbangan menjelang perayaan sedangkan hakikatnya zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan ibadah wajib yang patut kita laksanakan dengan teliti, ikhlas dan tawaduk.’

‘GPMS juga ingin mengingatkan Zakat Pulau Pinang agar tidak terus menjadi kuda tunggangan kepada parti dan ahli politik bukan-Islam dan tidak tunduk kepada tekanan atau desakan politik. Agihan sumbangan zakat oleh ahli politik bukan Islam harus dihentikan segera dan kita tidak mahu lagi insiden ini berulang lagi di tahun hadapan.’

‘Zakat dikutip oleh orang Islam daripada orang Islam sewajarnya disampaikan kepada orang Islam oleh orang Islam’.

(Rujukan: https://www.facebook.com/MelayuPulauPinang/posts/10156620774572408 )

Kritikan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

‘Tindakan wakil rakyat bukan-Islam mengagihkan pemberian zakat tidak menjadi satu kesalahan sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan zakat itu sendiri.’

‘Bagaimanapun, adalah ‘tidak manis’ bagi bukan Islam berbuat demikian kerana ia memberi gambaran seolah-olah tiada orang Islam layak menguruskan agihan zakat.’

‘Isu sekarang adalah membabitkan isu pengurusan, ia tidak melibatkan soal hukum. Tetapi lebih beradab dan lebih manis jika orang Islam sendiri yang menguruskan agihan zakat, bahkan amil-amil yang dilantik untuk mengutip zakat juga boleh mengagihkan zakat.’

(Rujukan: https://www.malaysiakini.com/news/478210 )

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.