Pelantikan Ahli Majlis Penasihat AIAC

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju melantik Ahli Majlis Penasihat (Advisory Council) Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Asian International Arbitration Centre – AIAC) yang berperanan menentukan strategi dan pelan tindakan bagi memperkukuhkan AIAC serta meningkatkan aktiviti-aktiviti pusat tersebut.

“Di samping itu, Majlis Penasihat ini akan turut berfungsi membantu Pengarah AIAC, Tan Sri Datuk Suriyadi Halim Omar,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pelantikan itu berkuat kuasa pada 1 April lalu selama dua tahun.

- Advertisement -

Beliau berkata, senarai keahlian Majlis Penasihat itu adalah Tun Arifin bin Zakaria sebagai pengerusi, Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara), Tan Sri Sulong Matjeraie, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham, Raja Dato’ Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, Dato’ Nitin Nadkarni, Dr. Wafi Nazrin bin Tan Sri Dr. Abdul Hamid, Puan Tan Swee Im, Prof. Doug Jones AO (Australia), Dr. Hassan Arab (Emirates Arab Bersatu), Miss Monica Feria Tinta (United Kingdom), Mr. Khawar Qureshi QC (United Kingdom) dan Mr. Vyapak Desai (India).

Katanya lagi, pelantikan Ahli Majlis Penasihat AIAC dari dalam dan luar negara ini dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas individu-individu berkenaan dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (Alternative Dispute Resolution – ADR) di negara masing-masing.

“Dengan pelantikan ahli Majlis Penasihat AIAC ini saya berharap AIAC akan meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi ADR dan pusat timbang tara yang unggul dan terkemuka di dunia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -