Berpuasa dengan keimanan dan pengharapan

- Advertisement -

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏:‏ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W:‏ (maksudnya) “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Muslim, no.760)

- Advertisement -

Dalam mensyarahkan Hadis ini, Imam al-Nawawi berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana ingin mendapatkan redha Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.

(Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Para ulamak lain yang mensyarahkan Hadis ini juga mengatakan bahawa orang yang berpuasa dituntut melakukan ibadat ini atas dasar iman dan mengharapkan sepenuh hati agar Allah S.W.T menerima amalan puasanya itu.

Maka seseorang itu akan berpuasa dengan penuh waspada menjaga pancainderanya agar menjauhi perkara-perkara yang dimurkai Allah S.W.T seperti menjaga pendengaran, penglihatan dan percakapannya.

Hal ini disebut dalam satu Athar daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:

إذَا صُمْتَ فَلْيَصُمْ سَمْعُك وَبَصَرُك وَلِسَانُك عَنِ الْكَذِبِ وَالْمَآثِمِ

“Sekiranya engkau berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada berbohong dan terlibat dalam perkara dosa.”

(Al-Musannaf Ibn Abi Syaibah, 2/422)

Jika kita mencukupkan kedua-dua syarat iaitu berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah S.W.T, maka akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -