Aktiviti di masjid, surau perlu patuhi SOP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Aktiviti keagamaan di masjid dan surau di Kedah sepanjang Ramadan ini dibenarkan, namun wajib mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Najmi Ahmad berkata, aktiviti berkenaan termasuk solat tarawih, tadarus Al-Quran, qiamullail, jamuan berbuka puasa, moreh dan bersahur.

“Walau bagaimana pun semua aktiviti yang dibenarkan itu wajib mematuhi SOP yang ditetapkan dan mana-mana masjid atau surau yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan serta kebenaran itu akan ditarik balik,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

- Advertisement -

Menurutnya jumlah jemaah yang menunaikan solat tarawih mengikut kapasiti keseluruhan masjid dengan penjarakan fizikal satu meter.

Peraturan yang sama juga bagi program tadarus al-Quran, manakala qiamullail hanya dibenarkan dengan aktiviti terhad seperti solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Bagaimanapun jemaah tidak dibenarkan tidur di premis itu.

“Aktiviti seperti jamuan berbuka puasa, moreh atau bersahur selain perlu memastikan patuh kepada penjarakan fizikal satu meter dan dibenarkan dalam bentuk ‘buffet’ dan dihidang di ruang khas.

“Pihak masjid perlu menyedia petugas untuk menyeduk makanan, bagaimanapun makanan siap berbungkus amat digalakkan,” kata beliau.

Beliau juga berkata, sekiranya juadah dimasak di premis berkenaan, disyaratkan tidak lebih daripada 10 petugas sahaja terlibat.

Menurutnya Najmi juga arahan khas dari semasa ke semasa akan dikeluarkan kepada masjid dan surau yang berada di kawasan zon merah.

“Pihak pengurusan masjid dan surau juga diingatkan memastikan menyedia imbasan kehadiran Mysejahtera dan alat memeriksa suhu badan kepada jemaah yang hadir,” tambahnya.

Peraturan tersebut berkuatkuasa 1 Ramadan sehingga arahan rasmi dikeluarkan dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -