Tolong menolong atas dasar kebajikan dan takwa

Foto hiasan.
- Advertisement -

DI ANTARA ciri keperibadian Islam ialah suka tolong menolong sesama insan atas landasan kebajikan dan ketakwaan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.”

Al Quranul karim menjelaskan tentang kebajikan dan ketakwaan dalam firman Allah yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala Malaikat dan segala kitab dan sekalian Nabi-nabi dan mendermakan seorang akan hartanya- sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta-minta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi… (Al Baqarah: 177)

- Advertisement -

Allah juga telah memberikan batasan-batasan tentang ciri-ciri peribadi orang-orang yang bertakwa dengan firmannya yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu mereka yang berinfaq pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang-orang… (Al Imran: 133-134)

Oleh kerana tolong menolong itu dasarnya adalah kebajikan dan takwa maka tidak hairan bahawa tolong menolong itu mempunyai kesan yang sangat luas dan kuat kepada seorang muslim sehingga ia mampu untuk mengadakan usaha perdamaian melebarkan kasih sayang.

Selain dari itu ia menghasilkan kerahmatan Allah kepada umat Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka damaikanlah di antara saudara-saudara kamu dan bertakwalah kamu semua kepada Allah agar kamu mendapat rahmat (Allah).” (Al Hujarat: 10)

Hubungan yang mengikat antara seorang anak dengan ayahnya atau seorang dengan saudaranya akan terputus jika salah seorang dari mereka ada yang melanggar peraturan Islam.

Tolong menolong mempunyai kesan dan balasan yang jelas baik di dunia mahupun di akhirat. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa memberi kelapangan seorang muslim dari kesempitan dunia maka Allah akan melapangkannya di hari kiamat dan barangsiapa meringankan orang yang menderita maka Allah akan meringankan penderitaannya di dunia dan di akhirat… (Abu Daud Sunan)

Dalam keadaan tolong menolong sesama Islam itu Islam mengharamkan saling tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk mendiamkan melebihi tiga hari. Jika berjumpa salah seorang dengan memalingkan mukanya kemudian pula saudaranya yang terbaik dari keduanya adalah yang memulakan dengan mengucap salam.”

Seorang muslim seharusnya berkasih sayang antara satu dengan yang lain. Ia akan pandai untuk memilih kawan yang sesuai dengan peribadinya. Muslim yang soleh tidak akan duduk bersama kecuali dengan orang-orang yang baik-baik.

Rasulullah s.a.w ada bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan seorang teman yang baik dan yang jahat itu bagaikan seorang penjual minyak wangi dan peniup bara api. Penjual minyak wangi boleh jadi akan membuat kamu jadi wangi atau kamu boleh dapat bau wangi sedangkan peniup bara api boleh jadi akan terbakar atau kamu akan dapat bau yang tidak sedap.” (Al Bukhari. Sahih)

Keperibadian muslim boleh dibersihkan dari segala keburukannya yang boleh merosakkan sifat tolong menolong dan amal soleh. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Jangan kamu saling bermusuh-musuhan, saling beriri hati dan bercerai berai dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara, tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya (tidak bertegur sapa) melebihi tiga hari tiga malam.” (Bukhari dan Muslim) – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -