PAS Masjid Tanah mahu tunai impian allahyarham Ustaz Ghani

Allahyarham Tuan Guru Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman bercita-cita mewujudkan sebuah markas PAS yang besar dan selesa di Masjid Tanah untuk kegunaan para amilin PAS.
- Advertisement -

MASJID TANAH: Sejumlah RM300,000 diperlukan PAS kawasan Masjid Tanah untuk menyiapkan fasa pertama projek pembinaan Kompleks PAS Masjid Tanah yang baharu.

Yang Dipertuanya, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, fasa pertama merangkumi membina tandas, tapak dewan terbuka dan memperbaiki bangunan sedia ada.

Ujarnya, pembinaan ini juga untuk menunaikan impian allahyarham Tuan Guru Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (foto) yang berhasrat membangunkan sebuah markas PAS yang besar dan selesa di sini.

“Kita tidak dapat nafikan semasa almarhum Ustaz Ghani menjadi Yang Dipertua (kawasan ini) memang pembangunan markas di kawasan ini berada pada tahap paling rancak.

- Advertisement -

“Bangunan yang mula-mula dulu, kecil sahaja berbanding yang ada sekarang ni. Struktur bangunan asal yang dibina dulu jika kita ingat lagi kecil sahaja.

“Tapi masa allahyarham Ustaz Ghani jadi YDP, beliau yang besarkan markas ni. Dia bincang dengan allahyarham Haji Kassim hingga Haji Kassim setuju infak seluruh tanah ini kepada PAS,” ujar Ustaz Imran.

Katanya pada peringkat awal PAS kawasan menggesa ahli jawatankuasa (AJK) membantu menyumbang dana untuk projek ini yang menelan belanja keseluruhan hampir RM1 juta.

“Kita ada sasarannya. Setiap AJK PAS Kawasan, dewan-dewan dan cawangan-cawangan masing-masing kena sumbangkan RM1,000 sebelum kita mohon daripada orang ramai.

“Jika setiap AJK dapat menunaikan tanggungjawab mereka, kita dah boleh mula dengan pembinaan tandas,” ujar Ustaz Imran lagi.

Sehubungan itu, semua AJK PAS di kawasan ini perlu bekerja keras untuk memastikan projek ini berjaya sebagai menghargai pengorbanan pihak yang telah menginfakkan tanah untuk markas ini.

Ustaz Imran (kanan) menyampaikan sekampit beras kepada penerima.

Ustaz Imran yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka turut merakamkan penghargaan kepada Ghazali, Dr Md Khalid Kassim dan allahyarham Kassim yang telah menginfakkan tanah untuk PAS.

“Nama (tanah) pun kita baru tukar. Jadi kita kena buktikan kesungguhan kita untuk memanfaatkan infak yang mereka telah lakukan dulu dan untuk permulaan kita perlu sekurang-kurangnya RM60,000 untuk bina tandas,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan taujihat sempena Ramadan dan majlis penyerahan bantuan beras untuk asnaf sempena bulan Sya’ban.

Sebanyak 105 kampit beras disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS telah diedarkan kepada cawangan-cawangan untuk diedarkan kepada fakir miskin dan asnaf.

Program yang berlangsung pada malam Sabtu di Markas PAS Kawasan Masjid Tanah dihadiri oleh wakil-wakil cawangan PAS sekitar Kawasan Masjid Tanah.

Sesiapa yang ingin menyumbang boleh salur ke akaun PAS Kawasan Masjid Tanah 1101 648 122 Bank Rakyat, untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pengarah Projek, Jamaruddin di talian, 012 697 2328. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -