MAIK lantik pegawai pastikan SOP di masjid dipatuhi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melantik pegawai penjarakan fizikal yang akan menjadi duta di pejabat dan masjid bertujuan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membudayakan pekerja dengan normal baharu.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, semua imam dan pegawai masjid perlu memainkan peranan lebih berkesan dan profesional dalam memasti semua aktiviti mengimarah masjid mengikut SOP.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama katanya, dengan adanya pengawai terbabit ia dapat menjamin keselamatan dan menyokong usaha kerajaan melandaikan lengkungan jangkitan dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Imam dan pegawai masjid merupakan frontliner dalam masyarakat untuk membawa agenda memartabatkan agama dan membangunkan ummah sepanjang masa.

“Mereka turut berperanan mendidik masyarakat mematuhi SOP dan pematuhan terhadap ketetapan dikeluarkan MAIK melibatkan masjid, surau dan musalla,” katanya selepas majlis amanat Yang Dipertua MAIK bersama imam-imam seluruh Kelantan tahun 2021 di Dewan Terantai, Kota Darulnaim, semalam.

Turut hadir Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dato’ Mohd Nussuruddin Daud dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Petugas tersebut juga menjadi duta dan wakil MAIK dalam menyampaikan bantuan kepada golongan terkesan menerusi Program Prihatin MAIK dan institusi masjid dalam kalangan  masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -