PAS tetap usaha satukan Umno-Bersatu

- Advertisement -

KANGAR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir semalam memutuskan tiada kerjasama bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) akan datang dan akan bertanding atas logo Barisan Nasional.

Sungguhpun begitu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, usaha penyatuan Umno dan Bersatu tetap akan diteruskan.

“Walaupun dalam ucapan penangguhan PAU 2020, mereka memutuskan hubungan dengan Bersatu, namun PAS tetap tidak putus harapan untuk menyatukan mereka (Umno dan Bersatu).

- Advertisement -

“Jangan jadikan perkara remeh sebagai alasan untuk kita tidak bersatu, kerana agenda penyatuan ummah lebih penting dari segalanya,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), hari ini.

Katanya lagi, tidak timbul persoalan PAS akan memilih mana-mana parti kerana, pemilihan mestilah berdasarkan kepada jalan yang paling ringan.

“Dasar pemilihan bukanlah kerana nafsu, tapi atas panduan dari Ilahi.

“JIka sekiranya, kita terpaksa memilih antara dua perkara yang mendatang mudharat, sudah pasti pemilihan kita berdasarkan mudharat yang paling ringan,” jelasnya.

Tegas Tuan Guru Hashim, matlamat penyatuan ummah masih menjadi agenda utama PAS.

Jelasnya lagi, PAS sedaya upaya akan mengelakkan dari terjadinya pertandingan tiga penjuru pada pilihanraya akan datang.

“Perpaduan Islam dan Melayu adalah asas perjuangan ketiga-tiga parti (PAS, Umno dan Bersatu), jadi kenapa masih memilih perpecahan.

“PAS tetap akan terus berusaha menyatukan ummah ini walaupun pelbagai halangan berlaku,” harap Tuan Guru Hashim lagi. – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -