Muzakarah kalimah Allah libat pakar akidah, undang-undang

- Advertisement -

KANGAR: Muzakarah berkaitan penggunaan kalimah Allah bakal diadakan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Beliau berkata, muzakarah kali kedua ini melibatkan pakar panel akidah dan undang-undang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

- Advertisement -

“Perbincangan kali kedua ini lebih tertumpu kepada sudut perundangan dan memperkasakan apa juga fatwa berkaitan kalimah Allah,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 29 Mac, Isnin.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara dibenarkan menggunakan kalimah suci itu beserta tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat bagi tujuan pendidikan di dalam penerbitan agama mereka.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Pejabat Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Menurut beliau, hasil muzakarah pertama berkaitan isu ini sudah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Mac.

Jelasnya, pihak kementerian masih belum menerima maklum balas daripada Majlis Raja-Raja buat masa ini. – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -