Si gembala kambing yang luput waktunya

- Advertisement -

GEGAK gempita sekejap jadinya politik Malaysia semalam. Dalam rakyat tekun memerhatikan perkembangan peperangan menghadapi COVID-19 yang menjejaskan kehidupan dunia datang lagi si gembala kambing untuk kesekian kalinya terpekik terlolong ‘Serigala-serigala’.

Goyang dan gegar habis semua. Berkerumun wartawan berputar Bursa Saham. Semua teralih perhatian walaupun telah pernah terkena sebelum ini dan kali ini kecewa lagi. Yang ada hanyalah pengumuman perjumpaan dengan saki baki MP PKR. Pandangan mengenai suntikan vaksin dan ura-ura kemungkinan beliau menjalin kerjasama dengan Umno. Tak lupa mengulangi dakwaan yang beliau kononnya memiliki sokongan MP yang cukup untuk bentuk kerajaan.

- Advertisement -

Tiada serigala, tiada ancaman dan semua ternyata tertipu lagi. Entah berapa kali lagikah perhatian kita akan ditarik sedemikian rupa dan berapa lama lagikah kita perlu melayan tabiat si gembala ini? Secara peribadi saya langsung tidak yakin ada pimpinan Umno yang tergiur mahu menjalin hubungan dengan beliau yang merupakan kawan akrab DAP.

Kalau pun ada masalah tidaklah sampai sahabat-sahabat dalam Umno terdesak sehingga mahu memeluk cium anasir yang menghina dan mencaci maki Umno, menabur fitnah dan mengadu domba rakyat hingga akhirnya bukan hanya Umno malah PAS sekali ditolak rakyat dalam PRU lalu dan naik berkuasa PH yang didominasi DAP.

Dengan pencapaian yang ada bersama sokongan padu rakyat khasnya umat Melayu Islam saya merasakan si gembala ini biarlah dengan tabiatnya jangan langsung dilayan. Sebaliknya kita Umno dan PAS terus perkukuhkan hubungan. PRU akan datang kita buktikan kuasa politik Melayu Islam kembali kukuh dimercu kuasa. Si gembala sudah luput waktunya. Kini zaman kebangkitan dan kegemilangan umat Melayu Islam dan rakyat Malaysia amnya.

No DAP no PKR.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -