Banteras judi, kaji semua keputusan buka premis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (WP) mendesak kerajaan mempertimbangkan semula langkah pembukaan premis perjudian baik secara atas talian mahupun secara fizikal.

Pesuruhjaya PAS WP Azhar Yahya berkata, langkah ini seolah-olah mengundurkan negara ke belakang kerana konsepnya mendorong seseorang melakukan jenayah rasuah yang menjadi musuh negara.

“Kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan kerajaan Kelantan yang tidak membenarkan pembaharuan lesen Sports Toto dan Magnum4D sejak tahun 1990.

“Peningkatan bilangan cabutan khas bermula pada tahun 2021 jelas tidak menampakkan kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan aktiviti perjudian di negara ini.

- Advertisement -

“Alasan untuk menambah pendapatan negara dengan peningkatan bilangan cabutan khas merujuk kepada tragedi wabak nipah pada tahun 1999 sangatlah tidak berasas,” ujar Azhar dalam nota bantahan isu pembukaan premis judi.

Beliau berkata lagi, aktiviti perjudian sama ada perjudian berlesen dan tanpa berlesen serta perjudian yang terdapat di dalam talian atau tidak, sangat berleluasa kini perlu dihapuskan secara berperingkat.

Tambahan pula, komitmen kerajaan yang pernah disebutkan oleh Kementerian Kewangan di Parlimen tahun lalu wajar ditunjukkan dengan kehendak politik (political will) yang tinggi.

“Kerajaan juga disarankan agar mengambil pendekatan intervensi polisi kesihatan awam seperti yang telah dilaksanakan di New Zealand bagi membanteras ketagihan perjudian di negara tersebut,” katanya.

“Kerajaan New Zealand telah memperkenalkan The Strategy to Prevent and Minimise Gambling Harm 2019/20 to 2021/22 sebagai suatu langkah bersepadu bagi mengurangkan masalah perjudian,” katanya.

Justeru, pendekatan proaktif yang dilaksanakan oleh New Zealand tersebut wajar dicontohi dan diintegrasi dengan baik khususnya melalui aspek kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang.

Namun demikian, kesemua ini adalah sia-sia jika premis perjudian baik secara atas talian mahupun secara fizikal (premis) masih diberikan kebenaran untuk meneruskan operasi.

Oleh itu, kerajaan haruslah prihatin dalam mendidik rakyatnya supaya menjauhi perkara yang tidak mendatangkan faedah dan boleh mengundang kesan yang lebih buruk kepada sosial. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -