Tangguh majlis sosial jika tidak mampu ikut SOP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penganjuran majlis sosial termasuk solat hajat, sambutan hari jadi, kenduri kahwin dan lain-lain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kluster baharu di Kelantan dikesan berpunca daripada program tersebut.

Kata beliau sekiranya SOP tidak dapat dipatuhi elok ditangguhkan dahulu majlis tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi arahan kesihatan iaitu mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang jarak dekat.

“SOP normal baharu perlu dipatuhi sepenuhnya apabila berada di tempat-tempat awam, premis perniagaan dan tempat kerja. Kebimbangan kes akan terus meningkat di Kelantan sekiranya SOP tidak dipatuhi,” katanya di sini.

- Advertisement -

Semalam Kelantan mencatat 67 kes baharu menjadikan kes kumulatif 5,437 manakala kes sembuh 5,085 kes (93.5 peratus).

Selain itu 331 kes dalam rawatan di mana enam daripadanya berada di wad ICU.

Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kelantan masih kekal status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berkuat kuasa 19 hingga 31 Mac ini.

Turut berada pada kategori serupa iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Dr Izani juga berkata, Kota Bharu melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 26 kes (38.8 peratus), diikuti Tanah Merah – 18 kes (26.9 peratus) dan Tumpat sebanyak 6 kes (9 peratus).

Menurutnya 42 kes (62.7 peratus) yang dilaporkan semalam merupakan kontak rapat kes sebelum ini, manakala 15 kes (22.4 peratus) berkaitan dengan kluster.

Terdapat 3 kes (4.5 peratus) rentas negeri dilaporkan iaitu dari Kuala Lumpur (2 kes) dan Pahang (1 kes).

Terdapat satu kluster baharu iaitu kluster Banggol Chicha yang melibatkan kes di Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat.

“Kes index merupakan wanita berumur 65 tahun yang dikesan melalui saringan prakemasukan ke hospital pada 11 Mac lepas.

“Sehingga Selasa sebanyak 17 kes dilaporkan dalam kluster tersebut. Kluster terbabit menjangkiti tiga pesakit dan enam peneman di wad sebuah hospital di Kelantan,” ujarnya.

Jangkitan di wad ini bermula apabila cucu kepada kes index dimasukkan ke hospital tersebut.

Dr Izani berkata, penyebaran dalam komuniti disyaki berpunca daripada majlis solat hajat yang diadakan di rumah kes. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -