Langkah jangka pendek atasi isu bekalan makanan ternakan

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak terlibat dan berkepentingan bagi membincangkan isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan ternakan yang membelenggu penternak seluruh negara sekarang dan khususnya di Terengganu.

Mesyuarat melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, FGV Kernel Products, Koperasi Peserta-peserta Felcra Berhad (KPFB), KPDNHEP, Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRNT), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dipengerusikan oleh Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu. 

- Advertisement -

Masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan ternakan adalah masalah nasional yang melanda seluruh negara berpunca dari pelbagai isu yang terlibat dalam rantaian pengeluaran makanan ternakan tersebut sehingga mengakibatkan kenaikan harga serta kekurangan bekalan.

Kami memutuskan beberapa tindakan segera untuk penyelesaian jangka pendek bagi menangani isu ini di Terengganu. Di Gong Badak Kuala Terengganu terdapat kilang makanan ternakan milik KPFB dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 60 ribu beg sebulan bagi setiap beg seberat 50 kg berjenama SEPADU RUMI.

Formula pemakanan produk Kilang KPFB menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari, seorang pakar dan penyelidik yang dikenali dalam bidang makanan ternakan. Isunya ialah produk ini tak dikenali oleh penternak Terengganu lalu ianya tidak menjadi pilihan penternak tempatan yang lebih meyakini produk luar yang telah lama dikenali serta biasa digunakan sebelum ini. 

Suka untuk dimaklumkan bahawa produk makanan ternakan dengan jenama lain yang dikenali ramai juga sebenarnya menggunakan kepakaran Professor Dr Wan Zahari. Produk Kilang KPFB tak kalah dari segi kualiti cuma memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi promosi dan pemasaran.

Harga makanan keluaran KPFB juga lebih rendah berbanding jenama luar yang biasa digunakan. Suatu kerugian bila Terengganu mempunyai kilang makanan ternakan tetapi produknya dihantar ke negeri-negeri lain dalam keadaan penternak negeri sendiri tak cukup bekalan. 

Strategi kami:

(1) Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya kewujudan kilang makanan ternakan KPFB yang ada di Terengganu.
(2) PPRNT akan memainkan peranan penting dari segi pemasaran dengan memanfaatkan kemudahan 54 outlet pemasaran milik ahli PPRNT yang terdapat di seluruh Negeri Terengganu.(3) TADC juga akan membantu memasarkan produk makanan ternakan jenama SEPADU RUMI.(4) FGV Kernel Products yang memiliki kilang makanan ternakan di Semambu Kuantan dengan Jenama ALMA akan meningkatkan jumlah makanan ternakan ke Terengganu yang akan diuruskan pengedarannya oleh Lembaga Pertubuhan Peladang, TADC dan PPRNT.

Semoga langkah penyelesaian jangka pendek ini dapat merungkai sebahagian permasalahan yang sedang dihadapi penternak kita di Terengganu. Penyelesaian cara kita dengan memanfaatkan sumber tempatan sedia ada. 

Boleh hubungi:
Kilang Koperasi Peneroka-Peneroka Felcra Berhad, 01114969893 (Siti Nur Syeefa)

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu
22 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -