Nabi Muhammad nabi terakhir bukan Nabi Isa

- Advertisement -

Kitab Buhairah Al-Azhar
Syarah Matan Safinah An-Najah
Siri 5


Berkata Al-‘Allamah Al-Qadhi Al-Faqih Syeikh Salim bin Abdullah Bin Sa’ad bin Abdullah bin Samir Al-Hadhrami As-Syafie:

خَاتَمِ النَّبِيَّيْنَ

Penutup segala nabi iaitu dilantik akan nabi kita Muhammad SAW sebagai nabi yang terakhir dari sekalian nabi-nabi.

Erti khatam

Perkataan خَاتَمُ iaitu khatam ertinya yang menjadi penutup iaitu Nabi Muhammad SAW adalah penutup segala nabi kerana tidak ada lagi yang diutus menjadi nabi selepasnya.

Dan dibaca juga dengan خَاتِمُ ertinya yang terakhir kerana Nabi Muhamamd SAW adalah nabi yang terakhir diutus oleh Allah menjadi nabi.

- Advertisement -

Sebagaimana pada hadis riwayat Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ

Ertinya: “Dan aku ialah yang terakhir dari sekalian para nabi.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berkata Imam As-Samarqandi:

وقرأ عاصم في إحدى الروايتين وَخاتَمَ النَّبِيِّينَ بنصب التاء. وقرأ الباقون: بالكسر. فمن قرأ بالكسر يعني: آخر النبيين

Ertinya: “Dan Imam ‘Asim pada salah satu riwayatnya membaca dengan خاتَمَ النَّبِيِّينَ dengan dibariskan di atas pada huruf ta’. Dan imam-imam qiraat yang lain membaca dengan baris bawah pada huruf ta’ iaitu خَاتِمُ. Maka barangsiapa yang membaca dengan خَاتِمُ jadilah ertinya yang terakhir dari sekalian nabi.” (Tafsir As-Samarqandi)

Erti nabi

Perkataan نبي berasal dari perkataan النَّبَأُ bererti berita maka disebut utusan-utusan Allah dengan sebutan nabi kerana mereka membawa berita daripada Allah Taala kepada umat manusia atau berasal dari perkataan النُّبُوءَةُ yang bermaksud tinggi martabatnya.

Berkata Imam Al-Farra’:

النبيُّ: هو من أَنـْبَأَ عن اللّه

Ertinya: “Erti nabi ialah mereka yang membawa berita daripada Allah.”

Berkata Syeikh Al-Bujairimi:

وَالنَّبِيُّ مَأْخُوذٌ مِنْ النَّبَأِ وَهُوَ الْخَبَرُ لِأَنَّهُ مُخْبِرٌ بِصِيغَةِ اسْمِ الْفَاعِلِ أَوْ الْمَفْعُولِ عَنْ اللَّهِ تَعَالَى أَوْ مِنْ النُّبُوَّةِ وَهِيَ الرِّفْعَةُ لِأَنَّهُ مَرْفُوعُ الرُّتْبَةِ

Ertinya: “Dan bermula perkataan nabi itu diambil dari perkataan النَّبَأُ iaitu berita kerana sungguhnya ia membawa berita daripada Allah Taala atau dari perkataan النُّبُوءَةُ yaitu ketinggian kerana sungguhnya terangkat martabatnya.”

Dan pengertian Nabi pada istilah ialah:

إنْسَانٌ أُوحِيَ إلَيْهِ بِشَرْعٍ يَعْمَلُ بِهِ وَإِنْ لَمْ يُؤْمَرْ بِتَبْلِيغِهِ. وَالرَّسُولُ إنْسَانٌ أُوحِيَ إلَيْهِ بِشَرْعٍ وَأُمِرَ بِتَبْلِيغِهِ، فَكُلُّ رَسُولٍ نَبِيٌّ وَلَا عَكْسَ

Ertinya: “Manusia yang diwahyukan kepadanya dengan syariat yang diamalkan dengannya dan tidak diperintahkan dengan menyampaikannya dan erti rasul pula ialah manusia yang diwahyukan kepadanya dengan syariat dan diperintahkan dengan menyampaikannya. Maka tiap-tiap rasul itu adalah nabi dan tidaklah tiap-tiap nabi itu adalah rasul.” (Syeikh Khatib Syarbini)

Berkata Syeikh Ramli:

وَالنَّبِيُّ إنْسَانٌ ذَكَرٌ حُرٌّ سَلِيمُ الْخِلْقَةِ مِمَّا يُنَفِّرُ عَادَةً كَالْعَمَى وَالْبَرَصِ، أُوحِيَ إلَيْهِ بِشَرْعٍ
Ertinya: “Bermula makna nabi ialah manusia yang lelaki yang merdeka yang sejahtera kejadiannya dari perkara yang menakutkan orang pada adat seperti buta dan penyakit kulit dan diwahyukan kepadanya dengan syariat.” (Kitab An-Nihayah)

Dan adalah sebutan النبيُّ bermaksud seorang nabi dan perkataan الـنَّبِيِّين maksudnya segala nabi atau para nabi yang disebut juga dengan الأَنـْبِياء maka perkataan خَاتَمُ النَّبِيِّينَ itu ertinya penutup sekalian para nabi.

Nabi Muhammad nabi terakhir bukan Nabi Isa

Wajib atas sekalian orang Islam percaya bahawasanya Nabi Muhammad SAW adalah penutup sekalian nabi dan rasul dan tidak ada lagi nabi yang dilantik oleh Allah Taala selepas Nabi Muhammad SAW termasuk Nabi Isa a.s yang turun di akhir zaman.

Firman Allah Taala:

وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ

Ertinya: “Dan akan tetapi sungguhnya Muhammad itu ialah utusan Allah dan penutup segala nabi-nabi.” (Al-Ahzab: 40)

Al-Quran menghikayatkan perkataan Nabi Isa a.s. menjelaskan nabi terakhir ialah Nabi Muhamamd SAW iaitu di dalam firman Allah Taala:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ

Ertinya: “Dan ingatlah ketika berkata Isa anak Maryam: Wahai Bani Israel sungguhnya aku utusan Allah kepada kamu sekalian yang membenarkan bagi apa yang telah turun sebelumku iaitu Taurat dan membawa berita gembira dengan seorang utusan yang akan datang selepas aku namanya Ahmad (iaitu Muhammad).” (As-Saf: 6)

Berkata Imam An-Nasafi:

{وخاتم النبيين} بفتح التاء عاصم بمعنى الطابع أى آخرهم يعنى لا ينبأ أحد بعده وعيسى ممن نبئ قبله وحين بنزل عاملا على شريعة محمد صلى اللّه عليه وسلم كأنه بعض امته

Ertinya: “Dan ayat ‘Muhammad adalah penyudah segala nabi’ bermakna yang menutup iaitu nabi yang terakhir dari sekalian nabi-nabi yakni tiada seorang pun nabi selepasnya. Dan adalah Nabi Isa a.s. itu termasuk nabi yang sebelum Nabi Muhammad SAW dan ketika Nabi Isa a.s. turun dari langit baginda beramal dengan syariat Nabi Muhammad SAW seolahnya baginda sebahagian daripada umat Nabi Muhammad SAW.” (Tafsir An-Nasafi)

Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ الرِّسَالَةَ وَالنُّبُوَّةَ قَدْ انْقَطَعَتْ فَلَا رَسُولَ بَعْدِي وَلَا نَبِيَّ

Ertinya: “Bahawasanya kerasulan dan kenabian itu telah terputus maka tiada lagi rasul selepas aku dan tiada lagi nabi.” (Hadis riwyat Ahmad)

Hukum orang tidak tahu atau tidak percaya Nabi Muhammad nabi yang terakhir

Berkata sebahagian ulamak barang siapa tidak percaya Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terakhir maka dia adalah tidak beriman dan barangsiapa tidak tahu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terkahir maka rosak Islamnya.

Berkata Syeikh Yusuf Ar-Rumi Al-Hanafi:

اما الايمان بسيدنا محمد عليه السلام فانه يجب بانه رسولنا فى الحالة وخاتم الانبياء والرسل فاذا آمن بانه رسول ولم يؤمن بانه خاتم الرسل لا نسخ لدينه الى يوم القيامة لا يكون مؤمنا

Ertinya: “Adapun iman dengan nabi kita Muhammad SAW maka sungguhnya wajib bahawa Nabi SAW itu rasul kita dan penutup segala nabi dan segala rasul. Maka apabila seorang itu beriman bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah tetapi dia tidak percaya Nabi SAW adalah penutup segala rasul dan tidak dibatalkan syariatnya sampai hari kiamat nescaya tidak ada ia seorang mukmin.” (Kitab Hidayah Al-Mahidiyin)

Dan tersebut pada Kitab Al-Asybah Wa An-Nazhoir:

اذا لم يعرف ان محمدا عليه السلام آخر الانبياء فليس بمسلم لانه من الضروريات

Ertinya: “Apabila seorang itu tidak tahu bahawa Nabi Muhamamd SAW ialah nabi yang akhir dari sekalian nabi-nabi maka bukanlah dia seorang Islam dari kerana sungguhnya ia adalah setengah dari pengetahuan yang mudah atas sekalian orang Islam.”

Hukum orang yang mengaku jadi nabi

Barangsiapa yang mengaku jadi nabi selepas nabi kita Muhammad SAW maka dia adalah seorang pembohong dan jadi ia seorang murtad.

Rasulullah SAW telah bersabda:

وَإِنَّهُ سَيَكُونُ فِي أُمَّتِي كَذَّابُونَ ثَلاَثُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ وَأَنَا خَاتَمُ النَّبِيِّينَ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي

Ertinya: “Dan sungguhnya akan ada nanti pada umatku orang-orang yang sangat pembohong lebih kurang tiga puluh orang yang mana semuanya menyangka mereka adalah nabi dan yang sebenarnya akulah penutup sekalian para nabi dan tidak ada nabi lagi selepas daripada aku.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berkata Syeikh Ismail Al-Bursawi:

وقال اهل السنة والجماعة لا نبى بعد نبينا لقوله تعالى { ولكن رسول اللّه وخاتم النبيين } وقوله عليه السلام ( لا نبى بعدى ) ومن قال بعد نبينا نبى يكفر لانه انكر النص وكذلك لو شك فيه لان الحجة تبين الحق من الباطل . ومن ادعى النبوة بعد موت لا يكون دعواه الا باطلا انتهى وتنبأ رجل فى زمن ابى حنيفة وقال امهلونى حتى اجئ بالعلامات فقال ابو حنيفة من طلب منه علامة فقد كفر لقوله عليه السلام ( لا نبى بعدى ) كذا فى مناقب الامام

Ertinya: “Dan telah berkata ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak ada nabi selepas nabi kita kerana firman Allah Taala: Dan akan tetapi Muhammad itu adalah utusan Allah dan penutup sekalian nabi-nabi” dan kerana hadis “Tidak ada lagi nabi selepas daripada aku. Barangsiapa yang berkata selepas nabi kita ada lagi nabi nescaya jadi kafir kerana sungguhnya dia telah ingkar akan nas. Dan seperti demikian juga jikalau seorang itu ragu padanya kerana bahawasanya hujah telah menjelaskan yang benar dari yang batil. Dan siapa yang mendakwa akan kenabian selepas wafat Nabi SAW maka tidak adalah dakwanya itu kecuali kebatilan. Dan seorang telah mengaku nabi pada zaman Abu Hanifah dan orang itu berkata: Tunggu sehingga aku datang membawa segala bukti dan tanda. Lalu berkata Abu Hanifah: Siapa yang meminta daripada orang ini bukti dan tanda maka dia jadi kafir kerana sabda Nabi SAW: Tidak ada nabi lagi selepas daripada aku.” (Kitab Tafsir Ruh Al-Bayan)

Kewalian tidak putus sampai kiamat

Adalah nubuwwah iaitu kenabian itu putus dengan Nabi Muhammad SAW kerana tiada lagi nabi yang dilantik selepas baginda.

Adapun kewalian maka iaitu kekal berterusan ia sampai hari kiamat.

Tersebut dalam Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

فَالنُّبُوَّةَ مَخْتُومَةٌ مِنْ حَيْثُ الإْنْبَاءُ وَالإْخْبَارُ عَنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَل بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ لاَ نَبِيَّ بَعْدَهُ، أَمَّا الْوِلاَيَةُ فَدَائِمَةٌ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ

Ertinya: “Maka kenabian itu ditutup dari pihak menyampaikan berita dan khabar daripada Allah Taala dengan nabi kita Muhammad SAW kerana tiada nabi lagi selepasnya. Adapun kewalian iaitu kekal ia sehingga berdirinya kiamat.”

Tetapi ini tidak menjadikan martabat wali itu lebih dari martabat nabi-nabi dan batil dakwaan orang yang mengatakan darjat wali melebihi darjat para nabi dengan alasan kewalian tidak putus sampai hari kiamat kerana nabi-nabi mempunyai martabat yang paling tinggi dalam kalangan manusia dengan ijmak.

Berkata Imam Al-Qusyairi:

رُتْبَةُ الأْوْلِيَاءِ لاَ تَبْلُغُ رُتْبَةَ الأْنْبِيَاءِ عَلَيْهِمُ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ لِلإْجْمَاعِ الْمُنْعَقِدِ عَلَى ذَلِكَ

Ertinya: “Bermula martabat para wali itu tidak sampai ia akan martabat para nabi a.s kerana ijmak yang telah berlaku atas yang demikian itu.” (Kitab Bustan Al-‘Arifin)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

اتَّفَقَ سَلَفُ الأْمَّةِ وَخَلَفُهَا مِنْ أَهْل السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ عَلَى أَنَّ الأْنْبِيَاءَ أَفْضَل مِنَ الأْوْلِيَاءِ الَّذِينَ لَيْسُوا بِأَنْبِيَاءَ، وَأَنَّهُ لاَ يَجُوزُ تَفْضِيل أَحَدٍ مِنَ الأْوْلِيَاءِ عَلَى أَحَدٍ مِنَ الأْنْبِيَاءِ.

Ertinya: “Telah sepakat umat salaf dan khalaf daripada Ahli Sunnah Wa Jamaah atas bahawa sungguhnya sekalian para nabi lebih afdhal daripada para wali yang bukan dari kalangan nabi-nabi. Dan bahawasanya tidak harus melebihkan seorang pun dari wali-wali atas seorang pun daripada para nabi.”

Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -