Kiraannya bukan 3 hari, jumlahnya tetap 10 hari

- Advertisement -

SEMALAM ramai yang menularkan Warta Kerajaan Persekutuan, Seksyen 29, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian 2021) yang menyatakan pada syarat pengecualian para 3 bahawa ‘Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai’. 

Warta ini telah ditandatangani oleh YB Menteri Kesihatan pada 2 Februari 2021 sebagai melaksanakan tanggungjawabnya selepas dibincangkan dalam mesyuarat MKN dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri. Sebenarnya kiraannya sama dengan warganegara Malaysia yang balik ke Malaysia. Mereka swab tiga hari sebelum pulang ke Malaysia. Jika positif tidak boleh masuk dalam penerbangan, kita negatif boleh teruskan perjalanan. Bila sudah sampai ke negara ini, maka mereka perlu kuarantin selama 7 hari. Jadi jumlah harinya adalah 10 hari juga. 

- Advertisement -

Dalam kes lawatan Perdana Menteri ke Indonesia, YAB Perdana Menteri sudah pun melakukan ujian saringan 3 hari sebelum penerbangan ke Jakarta. Bezanya dengan warganegara yang pulang ke Malaysia adalah lawatan rasmi menggunakan kaedah ‘travel bubble’.

‘Travel Bubble’ ini mengamalkan SOP yang sangat ketat seperti berikut:

(1) Lawatan mestilah urusan rasmi.
(2) Jadual mestilah ringkas.
(3) Hanya disertai delegasi kecil yang wajib menjalani ujian COVID-19.
(4) Individu mestilah tidak bergejala.
(5) Disahkan negatif 48 jam sebelum berlepas.
(6) Guna pesawat khas kerajaan dan bukan pesawat komersial, bagi mewujudkan ‘travel bubble’.
(7) Wajib jalani ujian sebaik sahaja tiba di lapangan terbang.
(8) Hanya individu yang negatif COVID-19 sahaja akan dibawa terus ke hotel penginapan.
(9) Tidak dibenarkan bergerak bersendirian, pergi ke tempat-tempat selain daripada tempat rasmi. Hanya pergi ke tempat yang disenaraikan dalam atur cara rasmi sahaja. 
(10) Hanya dibenarkan berada di dalam bilik penginapan.
(11) Wajib pakai pelitup muka setiap masa sepanjang berada di tempat-tempat rasmi lawatan.
(12) Tiada sesi berjabat tangan, berpelukan dan bersentuhan sepanjang lawatan rasmi ini berlangsung.

Selepas lawatan dari luar negara, di bawah perintah Akta 342, seseorang Menteri yang pulang wajib swab, wajib kuarantin bagi mencukupkan jumlah kuarantin selama 10 hari. Tempoh 10 hari ini berdasarkan kiraan:

Pertama, 3 hari ujian saringan sebelum berlepas. Kedua, 1 hari semasa lawatan kerja rasmi menggunakan kaedah ‘travel bubble’ dengan SOP yang ketat. Ketiga, selepas pulang dari lawatan, perlu kuarantin untuk mencukupkan jumlah 10 hari tempoh kuarantin. 

Kenapa hari sepanjang lawatan itu diambil kira sebagai tempoh kuarantin? Ini kerana Menteri yang terbabit adalah dalam ‘travel bubble’ iaitu tempoh kuarantin juga. 

Kesimpulannya

Adalah berbeza sama sekali lawatan rasmi ke luar negara yang SOPnya amat ketat dengan lawatan peribadi ke luar negara. Namun kiraannya tetap sama, tempoh kuarantinnya tetap 10 hari. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

Sumber asalhttps://www.facebook.com/111858377113933/posts/251791686453934/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -