PRU15 tetap dua penjuru di sebalik isu politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha memastikan hanya berlaku pertandingan dua penjuru di setiap kerusi dalam PRU15 akan datang diyakini tidak terjejas di sebalik isu politik membabitkan Umno dan BERSATU.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor optimis sedemikian dan menyatakan bahawa masalah tersebut ibarat ribut dalam cawan yang akan kembali pulih dan berakhir.

Menteri Besar Kedah itu percaya isu terbabit pasti akan berlalu dan akhirnya hanya gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Beliau lapor Astro Awani mengulas hal itu selepas Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Negeri Kedah dan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Sanusi juga menyatakan, rundingan kerusi MN sudah melebihi 50 peratus dengan persetujuan antara PAS dan Umno mengikut fomula yang dipersetujui bagi memastikan tiada pertandingan tiga penjuru dalam PRU tersebut.

“Kalau kerusi Umno menang, (maka) PAS tak letak calon (di situ), disiplin PAS sangat tinggi, tiada masalah. Kalau dia (Umno) menang (di kerusi) dia duduklah (bertanding). Itu formula yang pertama.

“(Bagi kes kerusi) lompat, itu ada rundingan lain, dia masuk bahagian lain pula, (guna syarat) lain. Itu terpulang kepada parti masing-masing,” katanya menjelaskan pembahagian kerusi dalam MN mengikut parti yang memenanginya dalam PRU sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terdahulu turut mengakui bahawa rundingan pembahagian kerusi MN mencapai tahap antara 60 hingga 70 peratus bersama sekutu rapatnya, Umno.

Malah tegas beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, rundingan berkaitan masih tetap diteruskan walau sebarang kemungkinan yang berlaku dalam menuju PRU15 dengan tekad memperkukuhkan MN dan PN.

“Insya-Allah kita akan terus berbincang dan berunding. Kita akan terus memperkukuhkan MN dan PN kerana itulah jalan terbaik untuk keharmonian serta kesejahteraan masyarakat yang menjadi majoriti dalam negara,” katanya dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Terengganu FC Sdn Bhd (Terengganu FC) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -