Penularan Covid-19 di Kelantan masih terkawal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung jumlah pesakit di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, kes penularan wabak masih dalam kawalan dengan peningkatan antara 40 hingga 50 kes sehari.

Katanya, PKRC tersebut tidak akan perluaskan memandangkan buat masa sekarang situasi penularan wabak Covid-19 masih terkawal.

“Jumlah sekarang ia mendatar tidak nampak lagi tanda-tanda penurunan, jadi kita tidak boleh buat PKP untuk selesaikan penularan ini tetapi penyelesaiannya ikut SOP,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian watikah perlantikan ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.

Perasmian program tersebut disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Seramai 24 ahli majlis MPKB-BRI dilantik bagi sesi 2021.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhammad, anggota-anggota Exco dan Yang Dipertua MPKB-BRI Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Media sebelum ini melaporkan tiga lokasi dijadikan PKRC bagi menampung keperluan tambahan pesakit Covid-19 di setiap hospital kerajaan di Kelantan.

PKRC tersebut iaitu Kolej Jururawat Kota Bharu, Dewan Jubli Perak MPKB-BRI dan Dewan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik). – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -