Ziarah PAS Paya Besar dengar luahan mangsa banjir

- Advertisement -

PAYA BESAR: PAS Kawasan Paya Besar menerusi Dewan Muslimat, Ameerah dan Jabatan Amal telah mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa banjir di Kampung Paya Bungor, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Memimpin ziarah ini ialah Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussin dan Ketua Ameerah Paya Besar, Ustazah Siti Hajar Hasan Basri serta Komandan Jabatan Amal Paya Besar, Mohd Nor Hisam Muhammad.

Antara mangsa dikunjungi adalah ibu tunggal anak lima, Siti Khadijah Abdullah yang masih trauma kerana selama empat tahun tinggal di situ, tidak pernah lagi air banjir masuk ke rumah sedang beliau tidak membuat sebarang persediaan.

Cerita beliau, ketika menyedari air banjir naik pada pukul 4 pagi, dia hanya sempat mengejutkan anak-anak dari tidur dan terus keluar dari rumah menuju duduk dalam pekarangan masjid yang betul-betul di depan rumah.

“Air naik pukul 4:00 pagi ketika itu saya dan anak-anak sedang tidur. Saya dengar orang kampung jerit bagi tahu air naik, bila saya buka pintu belakang, air dah ada depan pintu,”ceritanya yang masih terkejut dengan kejadian banjir yang memusnahkan hampir semua barang di dalam rumah beliau.

Begitu juga keluarga lain Imam Masjid Kampung Gelugor, Zul Azri Mat Yassin serta isterinya, Tuan Ummi Atiyyah Tuan Mohamad yang baru setahun lebih tinggal di situ turut terkejut kerana pertama kali dalam sejarah hidupnya menghadapi banjir sebegini. 

Di kesempatan itu juga, kumpulan ziarah sempat menyampaikan barangan keperluan makanan kepada 20 keluarga lain dan menyantuni dua keluarga yang ditimpa musibah dalam kejadian runtuhan rumah di Bukit Gambang.

Ustazah Norzilah memberi kata semangat dengan membacakan doa yang disebut Ummu Salamah R.A ketika ditimpa ujian dengan bermaksud“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami Kembali. Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya.”

“Kita mengharapkan sahabat-sahabat yang ditimpa musibah ini supaya tabah, sabar dan redha dengan ujian yang sedikit ini, semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik lagi, dan seharusnya kita perlu bersyukur kerana tiada kecederaan atau kehilangan nyawa. Alhamdulillah.

“Walaupun sumbangan yang diberi ini tidak seberapa, tetapi ianya menunjukkan keprihatinan daripada sahabat dan masyarakat yang berada disekitar kita, yang sentiasa bermurah hati membantu sahabat-sahabat yang menghadapi ujian yang melanda negeri kita ni,” ujar beliau.  

Menurut Ustazah Norzilah, susulan dari ziarah itu, mereka dapat mengenal pasti keperluan keluarga tersebut dan akan memberi bantuan sesegera mungkin mengikut keperluan keluarga mangsa seperti pakaian, selimut, lampin pakai buang, tuala wanita dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -