Isu kartel daging tidak patut terjadi di negara umat Islam

- Advertisement -

PAS NEGERI JOHOR memandang serius isu ini dan juga isu-isu seumpamanya yang telah berbangkit sebelum ini antaranya:

(1) Isu ayam di pasar raya yang tidak disembelih sempurna.
(2) Isu ikan patin di Perak yang diternak dengan memberi makan bangkai khinzir.
(3) Isu penyimpanan daging halal dan haram di dalam satu tempat.
(4) Isu kebanyakan dapur-dapur hotel di negara ini yang tidak patuh syariah.
(5) Pelbagai isu lain berkaitan makanan yang tidak patuh syariah.

- Advertisement -

Sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam dan majoriti rakyat beragama Islam bahkan agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi negara tidak sepatutnya isu seperti berlaku secara berulang kali.

Maka di sini PAS Johor menggesa pihak Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Dalam Negeri Bahagian Agama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, JAKIM, Jabatan Kastam, Majlis Agama Negeri-negeri dan semua pihak berkuasa yang terlibat supaya lebih sensitif.

Di sini juga pihak kami mencadangkan beberapa perkara yang wajar untuk penambahbaikan:

(1) Memperketatkan undang-undang yang melibatkan bahan makanan import.
(2) Melipatgandakan pemeriksaan ke atas premis-premis pemprosesan makanan.
(3) Membuat pembaharuan kepada logo halal bersesuaian dengan perkembangan semasa.
(4) Bertindak pantas menangani isu-isu dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.
(5) Manfaatkan sepenuhnya media kerajaan untuk mendidik masyarakat supaya peka dengan pengambilan makanan yang halal dan sihat.
(6) Mengenakan hukuman yang berat kepada kakitangan kerajaan yang terlibat sebagai dalang.
(7) Menyediakan akses yang mesra dan mudah kepada rakyat untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

PAS Johor berharap isu-isu yang menjadi kebimbangan masyarakat Islam di Malaysia yang telah sekian lama kurang diberi perhatian ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Membangun Bersama Islam”

RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 28/12/2020

- Advertisement -