PSR projek geopolitik untuk usir Melayu PP

Lari dari tujuan asal untuk projek selesai masalah trafik dalam pulau

- Advertisement -

BALIK PULAU: Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) adalah projek kritikal Kerajaan DAP dan bukannya ke atas rakyat negeri ini sebagaimana cuba dinyatakan Exco Kerajaan Negeri, Zairil Khir Johari.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyanggah kenyataan Zairil kononnya PSR adalah projek penting untuk masa depan serta kelestarian negeri ketika Sidang DUN minggu lalu.

Sebaliknya tegas Ustaz Fauzi, PSR akan membawa bahaya kepada penduduk dan alam antaranya juga bakal melibatkan kemusnahan ekosistem laut, sekali gus menjejaskan nelayan dan hasil laut sumber makanan.

Bidas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang telah memanipulasikan keadaan dan menghalalkan tindakan rakus dengan berselindung disebalik pelbagai alasan untuk menjayakan agenda geopolitik parti tersebut.

“Itu semua termasuk dalam jajaran yang menjadi sasaran mereka untuk menghalau komuniti masyarakat Melayu dan juga memangsakan rakyat bawahan.

“Malah, rangkaian projek PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang) itu juga sudah lari dari tujuan atau objektifnya iaitu menyelesaikan kesesakan trafik dalam negeri,” ujar beliau.

Jelasnya, rancangan asal oleh Konsultan Halcrow selaku perunding isu aliran trafik itu langsung tidak mengandungi pakej terowong dasar laut, transit aliran ringan (LRT), Lebuhraya Pan Island Link (PIL) dan PSR itu sendiri.

Namun katanya, PSR dan semua rangkaian projek berkaitan timbul apabila SRS Consortium membawa cadangan itu hingga melonjakkan anggaran pembiayaan kos yang sangat tinggi iaitu RM46 bilion.

Bidas Ustaz Fauzi lagi, kaedah kononnya penyelesaian isu trafik itu hakikatnya dikemukakan suku-sakat DAP yang sangat mencurigakan kerana kontraktor dilantik bukan dalam bidang pembangunan tersebut itu.

Katanya, kerana itulah pembohongan Kerajaan DAP Pulau Pinang tersebut mendapat bantahan banyak pihak dan tidak memberi penyelesaian yang lestari atau bersifat untuk masa depan terhadap masalah itu.

Beliau turut menyifatkan pameran cadangan PTMP yang pernah diadakan sebagai tidak wajar dengan tempoh masa dan dokumen terlalu banyak untuk disemak awam, selain sarat dengan bahasa perundangan dan teknikal.

“Di sinilah terlihatnya Kerajaan DAP tidak jujur untuk melaksanakan projek tiga pulau buatan ini. Jika ingin meluaskan tapak industri, kenapa tidak di sebelah Batu Kawan sana?” persoal Ustaz Fauzi.

PTMP yang asalnya dicadang sebagai mekanisme mengatasi kesesakan lalu lintas trafik di dalam bahagian pulau negeri ini telah berubah menjadi projek mega berkepentingan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek yang mendapat bantahan ramai ini secara tiba-tiba memunculkan pakej terowong dasar laut, pulau buatan, LRT, PIL dan lain-lain di mana terdapat juga kes diheret ke mahkamah berkait rasuah. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -