PDRM nafi siasat Anwar kerana arahan politik

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan kes melibatkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK)  Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis supaya mereka dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Huzir menjelaskan rakaman percakapan Ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman semalam berhubung penyiasatan ke atas enam kes termasuk penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam.
 
Menurut Huzir, hingga kini sebanyak 113 laporan polis diterima termasuk aduan daripada ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu.

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat.  

“Penyebaran kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya. 

Huzir berkata selain keterangan melibatkan penyebaran senarai nama tersebut, rakaman percakapan ke atas Anwar turut melibatkan lima kes lain iaitu isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Siasatan juga melibatkan kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam; video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam negara Malaysia dan sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA