Rakyat sudah serlah ‘jawapan’ kepada Pakatan Harapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat memberi mandat dan sudahpun menilai Pakatan Rakyat (PH) di mana segalanya telah terjawab menerusi keputusan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil dan terbaharu PRN Sabah.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelumnya mungkin ramai yang tertipu dengan slogan retorik kononnya mahu mewujudkan ‘good governance‘, membela hak istimewa Bumiputera, penghayatan Islam dan sebagainya.

Tetapi rentetan dari semua itu juga menurutnya, rakyat melihat sendiri pergaduhan atau kewujudan kem-kem dalam PH dengan adanya blok Tun Dr Mahathir Mohamad dan blok Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Terakhir sekali apabila rakyat tengok di Sabah baru ini, PH hilang sokongan lagi walaupun sebelumnya mereka adalah merupakan kerajaan di Sabah. Tetapi dalam pilihan raya 26 September baru-baru ini, rakyat Sabah sendiri pun telah menolak PH yang diketuai oleh WARISAN di sana.

“Rakyat sudah beri peluang kepada mereka 22 bulan dan telah melihat kegagalan sama ada dari segi sudut ekonominya, perpaduan kaumnya. Maka akhirnya rakyat semakin hari sudah pun tahu manakah intan manakah batu.

“Ataupun manakah palsu ataupun manakah yang dikatakan sebagai perkara yang benar-benar berjuang untuk rakyat dan sebagainya,” ujarnya bersiaran langsung di Facebook Pemuda Bukit Gantang, malam tadi.

Menyentuh mengenai langkah politik Anwar baru-baru ini, Ustaz Idris menyatakan betapa pemilihan Perdana Menteri mesti berpedomankan atau mengikut ‘buku panduan’ iaitulah Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, peruntukan tersebut jelas termaktub dalam Perkara 43(2)(B) yang meletakkan pelantikan Perdana Menteri di bawah urusan Yang di-Pertuan Agong sesuai konsep Raja Berpelembagaan.

Malah, perkara itu katanya, sudah dihurai dan dijelaskan oleh ramai pakar-pakar perundangan dalam kalangan tokoh akademik, ahli sains politik yang sepatutnya Anwar memahami proses berkenaan.

“Nak memilih Perdana Menteri ini, bukan nak pilih jawatankuasa surau ataupun masjid. Nak pilih jawatankuasa surau masjid itu pun dia memerlukan juga beberapa perkara yang perlu ditapis.

“Yang nak memilih itu ialah merupakan anak kariah di situ, yang ada syarat-syarat dia, yang merupakan mereka yang register di dalam kawasan anak kariah, melayakkan mereka memilih Pengerusi ataupun Jawatankuasa Masjid ataupun surau,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -