Lawan COVID-19, bukan porak-perandakan politik

- Advertisement -

SAAT ini, kita masih lagi ‘belum menang’ dan sedang berhadapan dengan peningkatan terbaru wabak pandemik COVID-19. Untuk menang, kita semua segenap lapisan rakyat Malaysia perlu berkerjasama sebagai sebuah pasukan demi untuk mengembalikan negara dalam kedudukan yang stabil dan berada dalam landasan yang betul untuk kesejahteraan kita semua.

Namun ketika ini juga, kita sedang berhadapan dengan suasana ketidaktentuan politik yang dicetuskan oleh individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya bercita-cita untuk melampiaskan hawa nafsu politik mereka demi kuasa dan ‘takhta’ yang mereka idamkan selama ini.

Tanpa mempedulikan nasib dan masa depan rakyat serta negara yang sedang berhadapan dengan ujian getir saat ini, mereka tanpa segan silu meneruskan usaha mereka ketika rakyat dan negara sedang bertungkus-lumus menongkah arus untuk mengembalikan keadaan seperti sediakala.

- Advertisement -

Di samping itu juga, individu dan kumpulan tertentu ini juga cuba untuk melaga-lagakan dan memporak-perandakan ukhuwah serta perpaduan kepimpinan dan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) dengan harapan ianya mampu mencetuskan ketidakstabilan politik dalam Kerajaan.

Usaha untuk melaga-lagakan dan memporak-perandakan gabungan parti politik dan kepimpinan Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional nampaknya tidak berjaya walaupun pelbagai provokasi dan perbuatan ‘politik melampau’ dicetuskan demi untuk hawa nafsu politik mereka.

Ternyata ketika ini jelas semua parti gabungan Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional termasuk kepimpinannya komited, berikrar dan berdiri teguh dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Ia jelas bertentangan dengan apa yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab di media sosial dan di mana-mana sekalipun dan ternyata ia adalah palsu dan salah. ‘Politik melampau’ dan tidak bertanggungjawab ini perlu ditolak dan buang jauh-jauh oleh kita semua.

Rakyat dan negara ketika ini tidak perlukan ‘politik melampau’ dan hanya mementingkan individu serta sekumpulan manusia yang mahu melampiaskan cita-cita serta hawa nafsu politik mereka untuk merebut kuasa, kedudukan dan ‘takhta’. Kita semua harus menolak individu dan kumpulan sebegini kerana ianya hanya memburukkan keadaan dan masa depan negara serta rakyat.

Segala tindak-tanduk dan politik melampau saat ini sebenarnya hanya akan mengukuhkan kesepaduan dan ukhuwah di kalangan parti di dalam Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional termasuk kepimpinannya dan ianya sekali gus akan memperkukuhkan lagi komitmen dalam meneruskan usaha untuk memperbaiki keadaan negara supaya menjadi lebih baik daripada sekarang.

Sejak mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan begitu juga beberapa buah Kerajaan Negeri termasuk Sabah baru-baru ini, segala komitmen dan usaha dari setiap parti dalam gabungan Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional adalah untuk menstabilkan keadaan politik dalam negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan memberikan segala manfaat kepada seluruh rakyat demi untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menolak usaha ‘politik melampau’ dan ‘politik hawa nafsu’ yang sedang giat dijalankan ketika ini kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara selainkan kepada segelintir individu mahupun kumpulan.

Marilah kita semua bersama-sama sebagai sebuah pasukan bekerjasama melawan wabak pandemik COVID-19 sehingga kita menang, seterusnya mengembalikan negara ke landasan yang lebih baik dari sebelumnya untuk manfaat dan kesejahteraan kita semua tanpa mengira agama, kaum, bangsa dan warna kulit.

Tekadkan keazaman dan usaha, Insya-Allah kita semua mampu melakukannya.

YB HAJI AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -