Penceritaan surah Kuda Perang yang penuh sensasi

- Advertisement -

SENARIO kehidupan masyarakat jahiliyyah gemar bercerita seputar topik kepentingan harta, peperangan, kuda perang dan status sosial. Allah menurunkan Surah al-‘Adiyat bagi menarik perhatian masyarakat ketika itu agar terpanggil mendengar mesej dari wahyu.

- Advertisement -

Haiwan yang luar biasa

Al-‘Adiyat bermaksud kuda perang yang gagah ditunggangi oleh para pahlawan dalam peperangan. Said Qutb menjelaskan betapa Surah al-‘Adiyat sarat dengan elemen penceritaan yang amat sensasi:

وَالْعَادِيَاتِ ضَبْحًا • فَالْمُورِيَاتِ قَدْحًا • فَالْمُغِيرَاتِ صُبْحًا • فَأَثَرْنَ بِهِ نَقْعًا • فَوَسَطْنَ بِهِ جَمْعًا

“Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah. Dan kuda yang memercikkan api dari derapan kakinya. Dan kuda yang menyerbu pada waktu pagi. Lalu menerbangkan debu-debu. Maka menyerang ke tengah-tengah kumpulan musuh.”


(al-‘Adiyat: 1-5)

Surah ini menggambarkan suasana kuda-kuda yang berlari pantas dengan dengusan nafasnya yang kencang. Derapan kakinya mengeluarkan percikan api ketika melancarkan serangan di awal pagi. Aksi tersebut menaikkan debu yang berkepul-kepul.

Laras bahasa yang digunakan dalam surah ini agak keras, berdentam-dentum sesuai dengan senario peperangan. Lantas Allah mengaitkan pula plot perihal kuda dengan tabiat keingkaran manusia yang kufur terhadap nikmat Allah.

Cerita dunia untuk berfikir soal akhirat

إِنَّ الإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ • وَإِنَّهُ عَلَى ذَلِكَ لَشَهِيدٌ • وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ • أَفَلا يَعْلَمُ إِذَا بُعْثِرَ مَا فِي الْقُبُورِ • وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ • إِنَّ رَبَّهُم بِهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّخَبِيرٌ

“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar kepada Tuhannya. Dan sungguh dia (manusia) sendiri menyaksikannya. Dan sesungguhnya cintanya kepada harta benar-benar melampau. Maka tidaklah dia mengetahui realiti sebenar apabila kubur dibongkarkan nanti. Dan apa yang tersimpan di dalam dada akan didedahkan. Sesungguhnya Tuhan mereka ketika itu Maha Teliti terhadap perhitungan ke atas mereka.”


(al-‘Adiyat: 6-11)

Setelah menarik minat orang ramai agar mendengar perihal kuda yang bersifat keduniaan, Allah membawa mereka agar berfikir pula soal akhirat. Dari kuda sebagai simbol status sosial, kepada pertimbangan nasib di kubur.

Allah mengingatkan bahawa manusia menolak kebenaran bukan kerana mereka tidak dapat melihat hakikat kebenaran. Sebaliknya mereka berpaling dari kebenaran kerana sangat terikat dengan kepentingan dunia. 

Disebabkan itu Allah mulakan surah ini dengan menceritakan perihal dunia yang digemari oleh semua orang. Di sebalik kepentingan-kepentingan dunia itu, Allah menyuruh manusia agar berfikir panjang kerana kehidupan masing-masing akan dihitung oleh Allah di akhirat.

Hingga kini manusia mengangkat simbol kuda sebagai lambang kegagahan dan ketangkasan. Logo Ferrari dan Ford Mustang adalah kuda. Bunyi enjin Harley Davidson jenis Shovelhead pula mirip seperti bunyi derapan kaki kuda.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
12 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 12/10/2020

- Advertisement -