Wajib berjati diri, mantapkan agenda Islam

- Advertisement -

BENTONG: Kerjasama PAS dengan parti-parti lain tidak harus melunturkan jati diri ahli, sebaliknya mesti memantapkan lagi gerak kerja jemaah ke arah mengangkat agenda Islam yang syumul dalam masyarakat dan pemerintahan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Bentong, Yusma Yusof menegaskan peringatan tersebut dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bentong Kali Ke-36 di Dewan Serbaguna JKKK FELDA Lurah Bilut, di sini semalam.

“Pastikan perjuangan ini berterusan, jangan terputus di tengah jalan. Penyatuan Ummah ketika ini hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selamanya. Jangan ada hasad dengki, khianat, iri hati sesama sendiri.

“Penyatuan Ummah ini mesti berpandukan akidah dan keikhlasan. Sebab akidah yang mengikat antara sesama Islam dengan aturan hukum syarak,” ujarnya mengingatkan kepentingan formula tersebut dipelihara sebaiknya.

Seru beliau, ahli PAS akar umbi terutama di Cawangan juga mempunyai peranan penting bergerak seiring serta bersedia melahirkan pelapis masa depan kerana dari Cawanganlah benih yang baik disemai hingga tumbuh subur.

Antara disaran beliau adalah supaya mendaftarkan anak masing-masing sebagai ahli PAS, mewajibkan keterlibatan dalam program parti termasuk selaku jentera pilihan raya, selain mendedahkan mereka kepada maklumat yang betul mengenai politik.

Selain itu kemukanya, pemantapan ruhiyah menerusi program tazkiyatun nafs, amalan membaca al-Quran, al-Mathurat dan hadir majlis munajat dilakukan kepada anak-anak serta anggota keluarga, selain menerapkan kefahaman walak dan taat kepada keputusan jemaah.

“Kita patut sedar tanggungjawab kita adalah menguatkan satu sama lain, bukan bercakaran, berselisih pendapat dan tidak bekerjasama. Kena terima setiap keputusan parti kerana ia dibuat secara syura, bukan oleh individu,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang menyeru untuk menguatkan gagasan Muafakat Nasional di mana telah menawarkan prinsip semak imbang serta hala tuju lebih realistik dan mampan dalam agenda Penyatuan Ummah.

Bahkan katanya, dari Penyatuan Ummah itulah membentuk kekuatan untuk menggantikan sebuah pemerintahan yang gagal sebelum ini, seterusnya menjamin hak semua rakyat pelbagai kaum dan memacu kembali negara ke landasannya. – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -