Hina Jata Negara, tidak boleh dimaafkan

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penghinaan kepada Jata Negara sebagai lambang rasmi kedaulatan negara adalah sikap yang biadap dan melampaui batas yang tidak boleh dimaafkan.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya menghormati lambang-lambang negara.

- Advertisement -

“Sebagaimana Jalur Gemilang, Lagu Kebangsaan Bunga Kebangsaan, Jata Negara dan apa-apa yang berkaitan dengannya,” katanya kepada HarakahDaily.

Jelasnya, Jata Negara yang diperkenalkan sejak tahun 1895 ini mempunyai makna tersendiri kepada negara dan bukan hanya ‘cebisan murahan’ yang boleh dihina sesuka hati.

Malah katanya, menurut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk Jata Negara secara tidak wajar.

Demikian itu katanya, kulit sebuah buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ suntingan oleh Kean Wong ini secara jelas dan nyata cuba menghina serta merendahkan lambang rasmi negara ini.

Dalam pada itu, katanya perbuatan tersebut adalah satu cubaan pihak tertentu yang mahu menganggu gugat keharmonian negara ini.

Sementara itu, Abdul Latiff menyatakan sokongan kepada tindakan pantas pihak polis untuk menyiasat perkara ini.

“Saya menyokong tindakan pantas pihak polis yang akan memanggil pihak-pihak terlibat dalam masa terdekat.

“Tindakan yang paling tegas perlu di ambil sesegera mungkin bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap isu ini,” ujarnya.

Semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap perkara itu setelah menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak dan akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan.- HARAKAHDAILY 30/6/2020

- Advertisement -