Polemik zikir nama Allah secara lafaz tunggal

- Advertisement -

PENGENALAN

Polemik berkenaan zikir nama Allah secara lafaz tunggal iaitu ‘Allah, Allah, Allah’ menjadi perbahasan yang meleret tanpa kesudahan sehingga yang bukan ahlinya turut mencampuri dengan hujah emosional tanpa memiliki disiplin ilmu yang berkaitan.

Lahirnya kalangan yang tidak bersetuju akhirnya dengan hujah emosional apabila melontarkan persoalan yang membawa kepada fokus:

(1) Zikir nama Allah secara lafaz tunggal tidak membawa makna yang sempurna maka menjadikan ia tidak berfaedah. Tidak sebagaimana zikir seumpama ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘Allahu akbar’ dan lain-lain.

(2) Mempersoalkan ada tak mana-mana riwayat yang Rasulullah S.A.W berzikir cara demikian?

(3) Punyalah banyak lafaz zikir-zikir yang warid dari Baginda S.A.W, mengapa masih nak berzikir nama Allah secara lafaz tunggal sekalipun ada ulamak yang mengharuskannya.

- Advertisement -

Lafaz ‘Allah’ mempunyai makna lengkap

Zikir dengan nama Allah secara tunggal atau mufrad adalah diharuskan dan mempunyai faedah kerana lafaz Allah mempunyai makna yang sempurna.

Kalimah Allah adalah lafaz agung iaitu lafzu jalalah لفظ الجلالة.

Kalimah Allah adalah nama bagi zat, adapun 99 nama yang lain adalah nama bagi sifat.

Kalimah Allah ialah اسم للذات الواجب الوجوب المعبود بحق استغناء عن كل ما سواه ومفتقر كل ما عداه

“Nama bagi zat yang wajib wujud, yang layak disembah sebenar-benarnya, terkaya dari selain-Nya (makhluk) sedangkan selain-Nya (makhluk) berhajat kepada-Nya.”

Seruan berdoa, zikir dan sebut nama Allah

Sebagaimana Allah memerintahkan hamba-Nya berdoa dengan nama-nama-Nya yang baik iaitu nama-nama sifat-Nya maka terdapat juga perintah menyebutkan nama-Nya (nama zat).

Firman Allah S.W.T:

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَاۤءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِینَ یُلۡحِدُونَ فِیۤ أَسۡمَـٰۤىِٕهِۦۚ سَیُجۡزَوۡنَ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

[al-A’raf: 180]

Firman Allah S.W.T:

قُلِ ٱللَّهُۖ ثُمَّ ذَرۡهُمۡ فِی خَوۡضِهِمۡ یَلۡعَبُونَ

“Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.”

[al-An’am: 91]

Maka sama ada menyebut nama Allah yang merupakan nama bagi Zat atau nama-nama lain dari Asmaul Husna yang merupakan nama-nama bagi sifat-Nya adalah diseru dan diperintahkan oleh Allah. Ini kerana dengan menyebut akan nama-nama tersebut termasuk dalam maksud zikir yang tujuannya memperingatkan kita kepada Allah S.W.T.

Malahan, perintah قل الله adalah jelas sebut akan nama Allah. Jika diperintah sebut Subhanallah maka lafaznya tasbih sebagaimana dalam surah al-Nasr:

فسبح بحمدربك.

Jika diperintah sebut Alhamdulillah maka lafaznya ialah tahmid. Begitu juga dengan yang lain-lain ada istilah khusus seperti takbir, istighfar dan sebagainya. Justeru, perintah menyebut Allah maka termasuklah dengan menyebut nama Allab secara tunggal.

Teladan dari Sahabat tanpa ada tegahan

Menyebut atau berzikir dengan nama Allah atau nama-nama-Nya secara tunggal bukanlah sesuatu yang asing. Secara asasnya dapat dilihat pada kelakuan Sahabat Bilal bin Rabah yang menyebut ‘أحد، أحد’ yang bermaksud ‘Tuhan yang Esa’ ketika diseksa oleh tuannya dengan dijemur di tengah padang pasir dan diletakkan atas dadanya batu yang menghempap.

Bilal bin Rabah berzikir bagi keteguhan iman dengan mengulang-ulang lafaz ‘Ahad’ atau أحد. Perkara ini tidak pula ada tegahan dari Rasulullah S.A.W. Jika ia tiada tegahan dari Baginda S.A.W bukankah menjadi iqrar dari Baginda S.A.W dan termasuk dalam konteks maksud Sunnah ialah:

كل قول أو فعل أو تقرير أصدر من رسول الله

“Setiap perkataan, perbuatan atau pengakuan dari Rasulullah S.A.W.”

Bezakan antara apa yang Rasulullah S.A.W larang, tegah dengan apa yang tidak dibuat

Antara kefahaman yang salah dalam menilai sesuatu permasalahan untuk menentukan hukum ialah menjadikan alasan bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah melakukan perkara tersebut sebagai hujah untuk diharamkan.

Hasil daripada kefahaman singkat yang sebegini, apa jua perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W maka ia merupakan bid’ah yang diharamkan. Akhirnya menjadikan masyarakat umum salah dalam memahami Islam yang sebenar serta konteks Islam dalam kehidupan adalah terlalu sempit.

Berlakunya kefahaman yang silap ini adalah disebabkan penilaian dan pemahaman mereka ke atas Hadis mengenai bid’ah yang difahami secara zahir tanpa merujuk kepada perbahasan para ulamak dan hikmah pensyariatan di dalam Islam ke atas sesuatu hukum.

Ia berbeza pada perkara yang jelas adanya larangan atau tegahan maka ia membawa maksud asal adalah haram selagi mana tiada qarinah lain yang membawa maksud kepada makruh.

Firman Allah S.W.T:

وَمَاۤ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُوا۟ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

[al-Hashr: 7]

Tetap mencapai maksud zikir

Tidak perlu timbul lontaran persoalan, punyalah banyak lafaz-lafaz zikir yang warid dari Baginda S.A.W tetapi kenapa nak juga zikir nama Allah secara lafaz tunggal. Ini kerana dalam membahaskan secara ringkas secara dapatan dari atas ialah:

(1) Ia tetap termasuk konteks berzikir yang diperintah oleh Allah dan Rasulullah secara umum berdasarkan ayat-ayat al-Quran.

(2) Berzikir dengan nama Allah dengan lafaz tunggal tidaklah menafikan zikir yang lain. Selagi ia berzikir maka selagi itu ia masih dalam lingkungan syariat

(3) Tiada tegahan dengan mengkhususkan hanya lafaz tertentu sahaja zikir. Jika begitu, ia hanya menyempitkan hal dalam agama sedangkan hakikatnya tidak.

(4) Kelebihan sesuatu zikir ada disebutkan oleh Rasulullah S.A.W antara lafaz-lafaz tertentu namun tidak menafikan keharusan berzikir pada lafaz umum yang mencapai maksud zikir.

Penutup

Zikir ialah kita mengingati Allah. Khususnya secara lisan dan berlafaz. Umum dalam seluruh kehidupan kita dengan apa yang kita fikir, bercakap, dan tindakan.

Jika menyebut nama Allah tidak mengingati kita kepada Allah maka lebih-lebih lagilah nama selain Allah. Sedangkan zahir lafaz Allah pastinya membawa kita mengingati Allah.

Malahan setiap nama ada maknanya. Ini kerana sesuatu nama itu menunjukkan sesuatu makna terhadap apa yang dinamakan. Malah nama Allah adalah kalimah agung yang memiliki segala keagungan, kesempurnaan dan kehebatan serta jauh sekali dari sebarang kelemahan dan kekurangan.

Usahlah dibawa dan dibangkitkan polemik akan sesuatu yang telah selesai dibincangkan oleh para ulamak dengan penghujahan yang panjang lebar. Tugas kita mahu memastikan umat beramal. Jika dalam konteks khilafiyah, maka hormatilah pilihan pandangan yang dipilih oleh masyarakat tempatan yang telah sekian lama mengamalkannya secara harmoni.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/6/2020

- Advertisement -