PAS sambut baik kerajaan teruskan siasatan kes Adib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik komitmen kerajaan untuk meneruskan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, komitmen ini sebenarnya melegakan rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan tersebut.

“Kita menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap kes kematian Adib,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara, inkues terhadap Allahyarham Adib menjadi tanda tanya dan diragui.

Sehubungan itu, PAS berpuas hati dengan keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rafidah Mohamad yang memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah oleh individu yang tidak dikenali.

Dalam pada itu katanya, PAS yakin PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Perikatan Nasional akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes ini dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat sama ada pelaku (pembunuh) beserta mereka yang berusaha menutup kes ini jika ada.

“Rakyat pasti akan memberikan kerjasama dalam mengangkat keadilan kematian seorang wira negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/6/2020

- Advertisement -
- Advertisement -